Siapa sumber inspirasi saya untuk mencebur diri berniaga?

Nope bukan steve jobs, bill gates, warren buffet, syed mokhtar, azman yahya atau jack ma.

Sumber inspirasi saya ialah seorang penjual ikan masin dan keropok keping wanita bernama Kamariah.

Saya masih sekolah rendah. Darjah 3-4 lebih kurang pada tahun 1982-85. Agak kerap juga Kamariah mengajak saya menemaninya berniaga ikan masin di pasar-pasar malam di sekitar Kuantan. Yang kita ingat di Taman Tas, Batu 3, Batu 5, dan Jaya Gading.

Jual ikan masin bukan kerja glamour. Bau hanyir dan tengiknya dari jauh sudah dapat dihidu. Hasil jualan pun taklah seberapa-mana. Saya bukanlah membantu sangat…kebiasaannya hanya duduk bersila disebelah Kamariah melihat pelanggan datang dan pergi (masa tu no handphone okay). Bila bosan saya merewang seorang diri keliling pasar malam macam budak homeless. Tapi paling seronok bila time makan, kerana Kamariah memang suka belanja makan sedap-sedap.

Dah tu apa yang inspiringnya tentang seorang peniaga ikan masin? Masa saya kecil memanglah tak inspired pun. perkataan inspire pun tak pernah dengar lagi. Tapi little-little things inilah yang trigger otak kita, yang seolah-olah telah menanam satu program khusus, mungkin dengan nama “start your own business”, yang hanya akan di-activate apabila sampai masanya.

lebih 20 tahun program ini tertanam sebelum dapat diaplikasikan sepenuhnya.

Kamariah hidup serba sederhana. Rumah kampung di Jaya Gading dan ke sana sini dengan motosikal kapcai buruk (dia akhirnya upgrade kepada sebuah kereta wagon lama warna biru muda kemudiannya). Sebab berniaga ikan masin, kereta, rumah dan pakaian pun berbau ikan masin jugalah.

Tapi bila dah besar dan ingat semula, ada benda yang baru saya perasan sekarang. Kamariah seorang wanita ‘besi’. Jangan main-main dengan dia, kalau dia dah nekad dia akan buat. Dia juga seorang yang ceria. Depan pelanggan dia bertukar karekter, suka berceloteh dan senyum sepanjang masa. Maka tidak hairanlah setiap yang datang seperti sudah lama kenal dia, suka berurus-niaga dengannya dan akan sentiasa beli darinya, walaupun kedai ikan masin bersepah di Kuantan tu.

Hidupnya susah, struggling sepanjang hayat, tetapi saya tahu dia gembira dan seronok berniaga. Dia ada disiplin yang tinggi yang akan keluar rumah tepat pada masanya untuk berniaga, bukan sambil lewa sahaja.

Saya seronok mendengar chit-chat dia dan pelanggan yang kebanyakan masanya saya saya tak faham pun, (dan ada masanya topik perbualan ialah tentang budak kecik-hitam disebelah Kamariah). Saya seronok tengok wang bertukar tangan dan routine Kamariah menyusun (ketika opening) atau mengemas barangan (ketika closing), atau berebut lokasi perniagaan dengan peniaga lain. Saya seronok tengok wajah Kamariah yang sentiasa berpeluh tapi puas kerana dapat jualan yang bagus, disamping tahu yang dia akan belanja saya makan best-best lepas tu.

Penyakit mahu jadi bos diri sendiri ini akhirnya berjangkit juga kepada saya, dan kepada keempat-empat orang anak-anak Kamariah.

Kamariah binti Chik ialah makcik saya dan adik kepada ibu saya. Sadly, dia telah pergi mengadap ilahi pada 23 Disember 2003 ketika berusia 48 tahun.

Usahawan wanita bernama Kamariah inilah sumber inspirasi saya untuk bekerja sendiri.

Anda bagaimana?