Anda tahu tak purata pendapat pesawah kita ialah RM500 sebulan daripada hasil tuaian padi? Itu 50% lebih murah dari gaji minima kebangsaan. Tak setimpal pula dengan tenaga yang mereka sumbangkan, bahkan jauh lebih murah dari gaji penjaga tol.

Pesawah kita buat juga kerja padi untuk siapa? Merekakah yang akan makan semua hasil tuaian tu?

Kita dah tak peduli pun status 500 ribu hektar tanah bendang kita, lebih 170 ribu pesawah kita, atau lebih 500 ribu ahli keluarga pesawah. maklumlah kita bukan makan nasi sangat sekarang. Makan nasi 3 kali sehari hanya orang miskin sahaja buat. Kalau cakap kita makan nasi 3 kali sehari, orang pandang macam kita ahli neraka. Orang kaya makan masi seminggu sekali. Orang biasa-biasa pun makan sekali sehari sahaja.

Bukan mahal pun nasi sekarang. Sekilo beras baru RM2.70 sahaja. Kalau sekali makan 100g, baru 27sen, walaupun kedai makan sekarang caj sampai RM2 untuk semangkuk nasi putih (lebih kurang 100g beras untuk mudah kira).

Dari peruncit beras sampai ke kedai makan, harga sudah mark-up hampir 10 kali ganda. Tetapi dari bendang sampai ke peruncit berapa kali ganda naik harga? Biar saya beritahu, padi tempatan dibeli pada harga siling lebih kurang RM1.20 sekilo. Dari kilang sampai kedai jadi RM2.70. Nampak macam semua untung, tetapi kenapa pendapatan pesawah RM500 sahaja?

Tak siapa peduli nasib pesawah sebab harga beras yang dimakan masih ‘dirt cheap’. Rakyat Malaysia dah tak makan sangat sebab nak jaga badan. Baik makan potato lagi. Orang sakit pun tak makan beras putih, depa makan beras mahal…herbaponi, beras hitam dan entah apa lagi.

Orang kaya kalau makan nasi pun tak beli beras tempatan. Beli beras siam, konon lebih banyak khasiat dan lebih wangi. Tak sedar dari dulu sampai sekarang kena tipu dengan Siam.

Pak menteri tak minat nak tolong petani. Bukan ditolong, bahkan ditapau lagi keringat petani, konon nak bantu dengan beri subsidi tetapi, tanyalah pesawah kita, membantu ke subsidi semua tu. Siapa yang dapat labanya, siapa yang kaut untung daripada ‘paksaan’ kepada pesawah untuk beli benih, baja dan racun tertentu? Menteri pun takut turun bendang sekarang, bukan takut lintah, tapi takut kena drive trektar. Malu depan pesawah.

Atau mungkin takut kena baling muka dengan selut.

Ahli bijak pandai pun tak minat nak bincang kesusahan petani. Forum padi…kadang-kadang. Depa lagi suka cari salah pak tani. Petani malas, suka tuang, suka tipu, tak nak belajar teknologi baru dan entah apa lagi.

Orang agama pun tak suka jumpa pesawah sebab kebanyakan pesawah ilmu agama lagi hebat dari depa. Pesawah walaupun miskin, zakat pertanian tak pernah miss. Ada berkat dalam setiap butir keringat.

Siapa lagi…student? Hmm, depa lagi pening nak fikir exam, nak bayar PTPTN. Kerja belum tentu. Nak balik bendang sambung kerja mak-pak boleh…tapi gaji RM500 bai. sapa sanggup?

BERNAS? Bernas dah 20 tahun jaga hal ehwal petani…sebagai ganjaran kerana sudi jaga pesawah syarikat Sdn Bhd ini dapat permit import beras tunggal 30%. Entah berapa ratus ribu tan setahun selama 20 tahun. Cuba darab sikit tengok berapa billion. Beras import juga lagi murah dari beras tempatan, tapi bila dijual harga lebih mahal. Pelikkan?

BERNAS beli padi pesawah, BERNAS agih subsidi pada pesawah, BERNAS jaga stockpile beras negara (takut-takut korea utara tembak kita dengan peluru berpandu, ada juga beras dalam simpanan); dan BERNAS juga pengimport beras tunggal sebab beras kita masih tak cukup untuk bekal pada pengguna.

Wait..wait. Beras tak cukup? Kalau semua pakat tak sudi makan beras tempatan, kenapa masih tak cukup? Kenapa masih impot 30%? Kenapa pendapatan pesawah masih RM500 sebulan?

Boleh jadi tak, bekalan beras tempatan ni sengaja dicatu untuk kaut untung lebih? Saya tak tuduh, tapi saya peliklah.

Kalau kira sifir matematik 1+1+1+1=4. Tapi dalam industri padi beras kita nampaknya 1+1+1+1=0.

Kesian pesawah. Beratus tahun mereka suap mulut kita dengan nasi. Tapi bila kita senang kita sombong.

Hari ini mereka lebih hina dari pendatang asing.

Siapa nak bela pesawah sekarang?