“Astaghfirullah…kenapa sampai berdarah-darah ni Ajid?” Ibunya bising sambil membelek-belek kepala dan muka Ajid mencari punca.

“Ya Allah anak aku!”

Ajid tidak menangis, dia hanya diam sahaja. Memang kepalanya berlumuran darah, bajunya koyak rabak. Dastar birunya hilang entah kemana. Lengannya pula habis calar balar. Kaki yang sudah tidak bercapal dipenuhi lumpur yang sudah kering.

“Baik kau ceritakan pada mak Ajid, kalau tidak nanti mak adukan pada bapak kau. Kau mahu begitu?”

Ajid diam lagi. Matanya hanya memandang ke bawah. Dia tidak mahu berpanjang-panjang dengan ibunya kerana memang tidak akan habis. Dan dia tidak peduli pun jika ibunya melaporkan kepada bapaknya. Ini bukanlah kali pertama.

“Kau berkelahi lagikan? Hari ini dengan siapa pula Ajid?”

“Hai Ajid tidak serik-serik kau ni asyik mahu bergaduh sahaja.” Sambil mengomel si ibu mengambil sehelai kain perca, dibasahkan lalu disapunya pada kepala Ajid yang berdarah. Darah kering yang sudah melekat di kulit kepala dan rambut disental bersih ibunya menyebabkan Ajid kepedihan.

“Anak hulubalang tak akan menangis!” bentak Ajid dalam hati.

“Sudah. Pergi buang pakaian kau tu dan salin yang baru. Pergi mandi, solat dan turun ke dapur makan. Mak dah siapkan semuanya. Tapi bila bapak kau pulang nanti pandai-pandailah kau menjawab. Mak malas hendak masuk campur!”

Malam tersebut, selesai solat Maghrib dan makan malam, Ajid terus ke bilik. Dia tak mahu bersemuka dengan bapaknya. Kalau boleh biarlah luka, lebam dan sengal di badannya hilang dahulu.

Tetapi si bapak lebih pantas menghidu bau darah. Atau bau orang bersalah.

“Ajid. Ke mari!” Bapaknya memanggil dari ruang tamu. Perlahan sahaja suaranya tetapi cukup tegas. Bapak sedang bersila diatas tikar mengkuang, tangannya sibuk meracip pinang. Gobek sireh sudah dicuci. Cembul-cembul tembaga berisi kapur, gambir, tembakau dan cengkih juga telah diisi kembali oleh isterinya yang memang arif akan kehendak suami. Beberapa helai daun sireh yang segar dan molek sudah dibersihkan dan disusun diatas tepak sireh. Memang sudah menjadi kebiasaan bapak Ajid menyediakan sireh pada malam hari, agar lebih mudah untuk dikunyah atau dijamu pada tetamu keesokannya. Cuma kebelakangan ini tetamu bapak sudah berkurangan.

Ibu dan adik-beradik perempuannya yang lain sedang didapur mengemas. Abangnya Tun Guna masih belum pulang dari bersuluk di Muar. Rasanya sudah tiga purnama dia merantau.

“Bapak dengar kau berkelahi lagi siang tadi.” Ajid tidak tahu bagaimana mahu menjawab, lalu didiamkan sahaja. Kadang-kadang diam itu lebih selamat.

“Mengapa kau diam? Berapa kali sudah aku bilang kalau ditanya kau mesti jawab.”

Ajid terus membatu memandang lantai. Dia cuba mengingat kembali pergaduhannya siang tadi. Dia seorang berdepan lima budak-budak kampung yang memang suka cari pasal. Ajid tak gentar, tetapi dia tak tahan betul mendengar cacian mereka.

Ajid tidak lagi marah pada budak-budak yang memukulnya. Ajid hanya geram pada lelaki yang dihadapannya sekarang. Mata Ajid kini beralih kepada bapaknya.

“Ajid!” Bentak si bapak. Tangan yang tadi sibuk meracip terhenti. Diletakkannya kacip pinang ke lantai sambil matanya membalas tenungan Ajid. Tenungan bapak bukan sebarang. Sudah berapa ramai musuh yang lari lintang-pukang kerana tenungan bapak yang menggerunkan.

“Sekali lagi bapak tanya…kalau kau masih degil tak mahu jawab, malam ini kau tidur di reban ayam!”

“Bapak yang salah!” jerkah Ajid.

Tersentak sibapak dengan jawapan putera lelaki bongsunya itu.

“Kenapa bapak bunuh abang Jebat? Bukankah dia sahabat bapak dari kecil? Kenapa bapak terlalu ikutkan sangat titah Sultan tanpa usul periksa? Kenapa bapak belot pada sahabat sendiri? Setiap hari Ajid dihina, mereka kata bapak Ajid pengecut, pengampu Sultan. Mereka kata satu keluarga kita patut dihukum sula. Ajid pukul sebab mereka celupar. Tetapi Bapaklah puncanya!”

“Kurang ajar!” Tangan kanan Laksamana Hang Tuah yang besar dan kasar hinggap ke muka anak kesayangannya Tun Biajid.

“Pergi! Aku tak mahu tengok muka kau lagi malam ni!” Ajid terus berlari ke biliknya.

Hang Tuah bingkas bangun. Tak jadi dia mengunyah sireh malam ini. Menggigil badannya menahan marah. Bisa kesan tamparan ke muka Biajid masih belum hilang. Tuah berjalan ke serambi sambil mundar-mandir. Dia tahu isterinya sedang mencuri dengar dari dapur tetapi tak pernah masuk campur. Dia tahu ini urusan bapak dan anak lelaki.

Setelah beberapa lama Hang Tuah mula menyesali keterlanjurannya memukul Biajid. Cuma ego masih menguasai dirinya, lantas dipujuk hatinya sendiri untuk membiarkan Biajid bersendirian sehingga esok. “Nanti pandai-pandailah kuikhtiarkan cara untuk memujuk si Ajid.”

Namun fikiran Hang Tuah mulai dipenuhi kenangan serta bayangan yang sudah lama tidak muncul. Perasaannya seringkali berbaur rindu dan bersalah setiap kali bayangan tersebut menjelma. Hanya satu cara sahaja yang dapat mengubati gundah-gulana Hulubalang terkenal Melaka itu.

Lewat malamnya tatkala semua penghuni rumah sudah nyenyak tidur Hang Tuah bangun dari katil menuju ke almari pakaiannya. Di dalam gelap diraba-rabanya jauh ke sudut bawah almari mencari sesuatu yang cukup berharga. Perlahan-lahan dikeluarkan sebuah peti yang telah dibungkus dengan kain kuning. Tuah menoleh ke katil sekali lagi untuk memastikan isterinya tidak terjaga sebelum keluar bersama peti kayu istimewa.

Hang Tuah duduk bersila mengadap bungkusan kuning. Cahaya pelita sengaja dimalapkannya, tetapi bayang-bayang Hang Tuah yang terpancar ke dinding rumah tetap lincah mengikut lenggok api pelita seolah-olah sedang bersilat pula dengan bayangan orang yang amat dirindui. Fikiran Tuah sibuk memainkan semula kata-kata Biajid selepas makan malam tadi, dan apa yang sebenarnya telah terjadi hampir setahun yang lalu.

Peti kayu itu ada jawapannya.

Hang Tuah akhirnya membuka peti tersebut, lalu dikeluarkan sehelai kain yang terlipat rapi. Jantungnya mula berdebar. Kain tersebut dihamparkan, dan sebaik terpandang lubang kecil kesan tusukan keris pada rusuk kiri baju tersebut, Tuah tak mampu lagi menahan sebaknya.

Pakaian terakhir al-marhum Hang Jebat sahabat sehidup-sematinya itu ditatap Tuah lama-lama. Peristiwa pertarungan mereka berdua masih segar dalam ingatan, dan dia memang tidak mahu melupakannya walaupun sedetik. Darah kering Jebat yang masih melekat pada baju memang sengaja tidak dibasuhnya, hanya dilumurkan dengar minyak gaharu. Baju tersebut adalah permintaan Tuah kepada Datuk Bendahara Paduka Raja untuk disimpannya.

Tuah mengambil baju Hang Jebat lalu diciumnya. Air matanya berjurai membasahi baju tersebut, dan suara tangisannya cuba dipendamkan dengan menekup mulutnya menggunakan baju yang sama. Tuah tidak akan menangis dihadapan sesiapapun. Hatta dihadapan isterinya sendiri.

“Maafkan aku Jebat. Ya Allah Kau ampunkanlah dosaku.”

Lama Hang Tuah duduk berteleku. Dia bukanlah seorang yang alim, tetapi dicubanya juga untuk membaca doa yang pernah diajarkan oleh gurunya. Tuah menadah tangan ke langit.

“Ya Allah. Sampaikanlah kebaikan dan pahala bacaanku kepada roh saudaraku Jebat.”

“Ya Allah. Ampuni dosanya, kasihani dan sejahterakanlah dia, maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya menemui-Mu, lapangkanlah kuburnya dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

“Semoga kami dapat bertemu kembali jika itulah kehendakMu.”

Selesai berdoa, Hang Tuah melipat kembali baju Hang Jebat, disapunya kesan air mata pada pakaian dan pada kedua pipinya. Namun sebaik mahu dimasukkan baju tersebut ke dalam peti mata Tuah terpandang pada hulu keris Taming Sari yang telah disembunyikannya didalam peti yang sama. Keris tidak bersarung itu hanya dibalut dengan kain merah. Tuah yang tadinya sedih dan sayu kini mengetap bibir menahan amarah.

“Kerana engkaulah keris puaka aku jadi begini!”

Dipegangnya hulu keris Taming Sari sambil dihayun ke kiri dan ke kanan. Ditatapnya lok dan pamor keris yang sudah mulai berkarat itu.

Kini Hang Tuah betul-betul nekad. Esok pagi nasib Taming Sari akan terjawab.