sambungan kepada 1. Salah Bapak

“Apa hajat datang ke rumah saya ni Datuk Paduka?” Hang Tuah musykil, tetapi nadanya tetap mesra. Tetamu sudahpun bersila di serambi rumah sebelum sempat menjawab soalannya.

“Hai Datuk Laksamana, macam tak sudi pula dengan kedatangan kita ni”, tetamunya mengusik.

Hang Tuah tersenyum. “Bukan begitu Datuk, saya segan menyambut Datuk tanpa sebarang persiapan. Datuk orang besar istana datang mengejut, berjalan kaki pula tidak seperti kebiasaan bertandu-berpengiring. Nanti jadi buah mulut orang kampung pula Datuk. Almaklumlah…”

Hang Tuah tidak mahu menyebut kisah lama; dan dia juga tidak mahu tetamunya menjawab, lantas menukar cerita. “Apa pun marilah kita bersireh dulu Datuk Paduka sambil-sambil menjamu apa yang ada. Sireh ini kebetulan baru dibalut pagi tadi. Macam tahu-tahu pula Datuk hendak bertandang.”

Tetamu istimewa terus merapatkan duduknya ke tepak sireh. “Kau tahu memang aku paling suka sireh kamu Datuk Laksamana. Sampai hari ini aku masih belum berjumpa sireh yang lebih baik buatannya.” Datuk Bendahara Paduka Raja Tun Perak seperti sudah tidak sabar-sabar mahu menerkam sireh dihadapannya.

“Tiada apa yang istimewanya Datuk. Sireh ini santapan berinang tok nenek kita juga. Cuma ketika bermukim di benua Keling dahulu, saya perhatikan mereka gemar meletak garam. Yang lain saya hanya pastikan ramuannya segar dan saya hanya gunakan tembakau dari Terengganu.” Hang Tuah cuba menjelaskan, cuma tidak dikongsikannya ilmu bersireh-jampi yang pernah diajar oleh gurunya Adi Putera. Hang Tuah tiba-tiba terkenangkan sireh jampi yang terpaksa digunakan untuk melembutkan hati Tun Teja dan al-marhum Hang Jebat.

Tun Perak tergelak sambil mengambil seketul sireh yang sudah terhidang. Terpejam matanya menikmati sireh adunan Hang Tuah setelah sekian lama.

Hang Tuah membiarkan Bendahara Melaka itu khayal sekejap sambil menghirup teh yang telah terhidang. Rumahnya senyap sunyi, walhal dia tahu seluruh ahli keluarganya ada didapur. Mereka amat menghormati tetamu istimewa yang pernah mengabdikan dirinya sebagai Bendahara kepada empat orang Sultan itu dan tidak akan mengganggu.

“Apa khabar Datuk Laksamana sekarang? tanya Tun Perak. “Sudah lebih setahun istana Melaka Datuk tinggalkan membawa diri ke mari. Tetapi aku tengok Datuk langsung tidak berubah. Masih gagah dan tampan seperti dahulu.” Ketawanya sehingga menampakkan barisan gigi hadapan yang mulai kemerahan kesan campuran gambir dan daun sireh.

“Apa sebenarnya tujuan Bendahara Melaka ini mahu bertemu aku?” tanya Tuah dalam hati. Dia tidak suka omong-omong kosong sahaja, dan dia tahu Tun Perak juga jenis yang tidak suka membuang masa.

Hang Tuah terus membuka gelanggang bicara.

“Datuk Bendahara, maafkan saya jika pertanyaan ini menyinggung Datuk. Saya mendengar khabar kematian Tun Besar. Cerita sebenar tentunya Datuk lebih arif, maklumlah kami jauh dari istana, hanya dapat bau-baunya sahaja.”

Tun Perak terhenti mengunyah lalu meludah air sireh ke dalam ketur yang telah disediakan. Diambilnya gelas tembaga berisi teh Cina. Itu satu lagi keistimewaan apabila bertandang ke rumah Hang Tuah.

“Beginilah Datuk Laksamana…aku…”

“Datuk Bendahara tak usahlah berDatuk-Datuk lagi dengan saya. Saya lebih senang dipanggil Tuah sahaja.”

“Begini Tuah anakku. Musibah yang menimpa Tun Besar telah aku lupakan, anggaplah itu takdir Ilahi, walaupun hakikatnya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancur-luluhnya hati ini.”

“Apapun Tuanku Sultan juga telah bersetuju mengirim Raja Muhammad ke Pahang sebagai hukuman. Namun perkara yang lebih merunsingkan aku ialah keadaan negeri Melaka yang semakin tidak keruan ini Tuah.”

Tuah kini sudah dapat mengagak tujuan sebenar Tun Perak menemuinya lalu segera menyampuk, “Apalah yang Datuk perlu gusarkan? Datuk orang paling lama memegang jawatan Bendahara. Ke-bawah Duli Sultan tidak akan bergerak walau selangkah tanpa nasihat Datuk.”

“Kuasa manusia hanya pinjaman Tuah. Hari ini setinggi gunung esok entah sekecil busut. Istana Melaka sekarang dipenuhi pegawai-pegawai yang jauh lebih muda daripada aku. Dan ramai juga penasihat-penasihat yang bukan berasal dari negeri Melaka ini. Mereka hanya pentingkan harta dan kesenangan. Mereka pandai mengambil hati dan menghiburkan Duli Tuanku sehingga banyak urusan kerajaan yang tertangguh atau diluar pengetahuanku.”

Tun Perak menarik nafas panjang sebelum menyambung.

“Tuah, aku perlukan pemimpin yang bijaksana dan amanah demi meluruskan kembali pentadbiran yang sudah bengkang-bengkok ini. Hanya engkaulah satu-satunya anak Melaka yang masih dihormati kawan dan lawan yang boleh kami harapkan.” Bahu Tun Perak kelihatan mengendur selepas berjaya menyampaikan hasratnya, seolah-olah hilang beban yang terpaksa ditanggungnya sekian lama.

“Hormat kata Datuk? Baru kelmarin anak saya si Tun Biajid pulang ke rumah bengkak-bengkak dipukul budak kampung. Isteri saya pula sudah serik untuk bertemu jiran-jirannya lantaran sering dicemuh. Kasturi, Lekir dan Lekiwa sudah tidak nampak batang hidung kerana masih menyalahkan saya. Jika tidak kerana keris Taming Sari yang ada di tangan saya, mungkin kepala ini sudah lama mereka penggal!” Tegas Hang Tuah sambil menunjukkan lehernya dengan tangan seolah-olah sedang dikerat .

Lama juga Tun Perak terdiam. Matanya tidak berani menentang pandangan Tuah kerana dia tahu Tuah betul. Dia memerhatikan perkarangan rumah Tuah yang memang sentiasa bersih. Dia juga mahu memastikan tiada siapa yang mengintip sebelum mengengsotkan punggungnya mendekati Datuk Laksamana.

“Tuanku Sultan murka kerana kutipan cukai kerajaan semakin berkurangan.” Bisik Tun Perak ke telinga kiri Hang Tuah.

“Jikalau hasil negara itu yang dirisaukan perintahkan sahaja Datuk Temenggung atau Datuk Syahbandar. Apalah sangat yang saya tahu berkenaan hal-hal dagang ni Datuk Bendahara?” Tuah mencari helah untuk menolak.

“Ke-bawah Duli Sultan juga minta aku tanyakan khabarmu.” Tun Perak semakin terdesak.

“Datuk Bendahara ni suka betul menguji saya.” Hang Tuah tergelak.

“Jikalau benarlah Tuanku perlukan saya masakan Datuk harus datang senyap-senyap begini. Saya tahu Tuanku Sultan masih tawar hati semenjak kejadian tahun lalu. Atau Tuanku mungkin sudah ada pengganti yang lebih tangkas daripada saya.”

Tun Perak hanya menggeleng kepala tanda tidak setuju. “Aku sudah tua Tuah dan sudah tiada masa untuk bergurau. Akal ini tidak lagi setajam dahulu. Entahkan esok entahkan lusa Allah datang menjemput. Tinggal hati ini sahaja yang tidak sanggup melihat negeri Melaka hangus terbakar.”

“Tuah, kami menerima risik tentang penemuan banyak kapal-kapal dagang dari negeri atas angin. Peranggi namanya. Mereka sudahpun membina kubu di negeri Goa dan ada yang sudah bermukim di Pasai, cuma menunggu masa untuk singgah di Melaka ini.”

“Orang Peranggi kata Datuk?”

“Benar anakku.”

Hang Tuah mengurut-urut janggutnya sambil memandang Tun Perak.

“Datuk Bendahara, jika benar apa yang Datuk katakan ini, maka Melaka sememangnya dalam bahaya. Golongan ini bukan sekadar mahu merebut kekayaan, tetapi mahu dijajahnya kita dan dipaksakan pula agama mereka ke atas kita”

“Datuk ingat laporan saya sekembalinya dari melawat Khalifah Islam di Stambul dahulu?”

“Masakan aku boleh lupa. Sebab itulah aku datang mencari kau Tuah. Hanya engkau sahaja yang pernah berjumpa dengan Khalifah Othmaniah. Negeri Melaka belum pernah menerima ancaman sebegini besar dan kita belum bersedia jika diserang mengejut. Dengan istana yang tidak terurus, dengan fitnah yang berleluasa, musuh dalam selimut yang ramai, ditambah dengan rakyat yang semakin marah kepada Raja…aku khuatir kita akan tewas sebelum perang bermula lagi.”

“Engkau cubalah dapatkan bantuan daripada kerajaan Othmaniah Tuah. Sementara itu aku akan usahakan pertemuanmu dengan saudaramu yang bertiga itu. Yang mungkin sukar sedikit ialah si Kasturi kerana marahnya pada kau dan raja masih kuat.”

“Nanti akan kupujuk juga ke-Bawah Duli Tuanku untuk mengizinkan kamu masuk mengadap.”

Hang Tuah bersetuju. Setelah berjanji setia, dan setelah membekalkan Tun Perak dengan bungkusan kecil berisi sireh kegemarannya, Bendahara Melaka itu pulang ke istana membawa seribu harapan.

Hang Tuah kembali duduk bersila menghabiskan Teh Cinanya. Semangat juang yang dahulunya malap kini mula membara untuk mempertahankan kedaulatan negeri Melaka tercinta.

Tak berapa lama kemudian Hang Tuah memanggil anaknya Tun Biajid yang sedang bertukang di belakang rumah.

“Duduk Ajid.”

“Kau kenal siapa yang memukul kau semalam?”

“Kenal.”

Ajid menjawab sepatah. Ternyata marah kepada bapaknya masih belum reda.

“Kau mahu jika aku ajarkan satu azimat supaya mereka gerun melihatmu selepas ini?”

Ajid yang tadi masam mencuka tiba-tiba ceria. “Betul pak?”

“Ya. Tetapi kau tidak boleh was-was atau gentar, dan ilmu ini tidak boleh dikongsi dengan sesiapapun. Sebelum baca kau mesti niatkan pada Allah, kemudian kau ambil seketul batu dan genggam sekuat-kuatnya sambil membaca jampi dalam hati. Paling penting kau mesti tenung mata budak-budak nakal tu sama seperti kau merenung bapak semalam. Faham?”

Batu itu nanti Ajid buat apa pak? Ajid hairan.

Hang Tuah ketawa. “Kalau jampi kau tidak menjadi, kau baling sahaja batu itu kemuka mereka dan larilah sekuat hati!”

“Nah cuba kau ingat dan ulang apa yang bapak sebutkan ini…Ku panggil pesaka ke-genggam ini. Ku panggil teras menyata diri. Kus semangat. Naiklah bias ke tangan ini.”

Tun Biajid mengulangi jampi yang diajar bapaknya beberapa kali. Setelah diluluskan oleh Tuah, Ajid memeluk bapaknya lalu berlari turun ke halaman rumah. Hang Tuah tersenyum lega. Jampi itu sebenarnya hanya jampi kosong, tetapi sangat berguna bagi mengembalikan semula semangat anaknya.

“Ajid telah berjaya kupujuk. Malam ini giliran isteriku pula.” Hang Tuah sudah terbayang wajah isterinya yang cantik manis.

Tiba-tiba Tuah teringatkan ikrarnya pada Taming Sari malam tadi.

“Hai Taming Sari…nampaknya nyawamu masih panjang bersamaku. Kali ini mungkin darah Benggali Putih pula habuanmu.”