Pagi itu Hang Tuah menemani isterinya dan inang mereka ke pasar. Barang keperluan harian sudah kehabisan dan akhir-akhir ini Tun Sendari takut pergi berseorangan. Tuah memang jarang ke pasar cuma kali ini diturutkan sahaja kehendak isterinya. Sambil itu bolehlah dia melihat sendiri keadaan sebenar di sana.

Sejurus tiba, Hang Tuah dapat merasakan yang kehadiran mereka tidak dialukan. Dia sudah masak benar dengan bunyi batuk dan dehem orang-orang di pasar yang bermaksud dendam, dengan ludahan sireh mereka yang kotor. Kedengaran juga suara dayus yang memanggil Tuah pengkhianat dari celah-celah orang ramai. Hatta si penjual kain yang akrab dengan Tun Sendari pun kecut perut untuk menegur sapa, bimbang nanti diapa-apakan.

“Daifnya keadaan pasar sungai Melaka sekarang…” begitulah pemerhatian sekilas pandang bekas hulubalang Melaka itu. Suara-suara sumbang yang ditujukan kepadanya tidak diendahkan dan dia cuba menumpukan perhatian pada gerai-gerai dihadapannya. Tun Sendari kelihatan gelisah, seolah-olah menyesal meminta suaminya menemankan.

Pasar ini dahulunya memang sentiasa sibuk dengan pengunjung; dan sarat dengan barangan dari serata alam. Wang-wangian dari Hadramaut, rempah-ratus dan bawang dari benua Keling, tembakau dan sutera dari Cina, gaharu dan kapur barus dari Majapahit dan entah apa lagi yang tidak pernah dikenali oleh orang Melaka. Kini pasar sungai Melaka suram dan kelam, Gerainya usang dan kotor, peraihnya kusut-masai dan muram, manakala barangan yang diperagakan hanyalah hasil tanaman dari kebun dan tangkapan dari laut yang tidak seberapa.

Tiada lagi senyuman, sapaan atau ole-ole untuk Laksamana Melaka dan isterinya daripada peraih. Tiada lagi kerancakan bunyi tawar-menawar atau hiruk-pikuk pasar yang bingit tetapi tetap menghiburkan. Kapal-kapal dagang sudah serik dianiaya dan sudah menukar haluan mereka ke Pasai untuk berdagang dan bermukim sebelum menyambung perjalanan ke timur atau ke barat.

Terdapat juga dua buah warung di hujung lorong tetapi hampir tiada pengunjung kecuali sebuah meja yang riuh dengan hilai ketawa golongan pengacau yang sudah mabuk tuak. Hang Tuah cuba berpatah balik daripada menghampiri warung tersebut namun dia terlewat. Salah seorang daripada ahli kumpulan mengenali Tuah lalu terus menepuk bahu rakan disebelahnya. Bunyi hilai ketawa yang gamat tadi terhenti tiba-tiba.

“Ibunya Ajid, ayuh segerakan urusanmu, matahari nampaknya sudah terik di atas kepala”, perlahan-lahan Tuah menarik lengan Tun Sendari untuk berpatah semula ke belakang. Tuah tidak mahu isterinya turut terjebak dengan lanun-lanun celaka di warung tadi. Tuah tahu jenayah semakin meningkat kebelakangan ini. Kejadian amuk, curi, bunuh dan rogol sudah menjadi kebiasaan. Lanun-lanun ini sudah berkampung di pasar dan warung, bahkan sudah berani mencabul kehormatan anak gadis atau isteri orang yang lalu-lalang.

Semenjak al-marhum Hang Jebat hampir berjaya menggulingkan ke bawah duli Tuanku, kekebalan istana Melaka mulai goyah. Musuh dari segenap ceruk rantau sudah dapat menghidu kelemahan istana Melaka dan mulai mengorak langkah untuk menyerang, termasuklah kumpulan lanun dan perompak tadi.

Sebenarnya memang banyak cubaan merampas kuasa dilakukan selepas Jebat dibunuh, namun dapat dipatahkan. Antara cerita yang mashyur ialah cubaan membunuh Sultan oleh seorang dayang istana bernama Kemboja. Cangkir minuman berisi racun yang dituang Kemboja untuk Sultan Melaka telah tertukar dengan cangkir Datuk Pariaman orang kaya pulau Singkel menyebabkan Datuk Pariaman mati di situ juga. Dayang Kemboja dihukum sula melintang dan kesemua lapan pemuda yang bersubahat juga telah dihukum bunuh dan mayat mereka dicampak ke laut.

“Entah apalah agaknya bala yang menimpa istana Melaka, sampai habis rosak negeriku ini!” Hang Tuah sedih dan malu melihat kerosakan yang berlaku dihadapannya. Wajah-wajah murung para peniaga sudah cukup untuk menjelaskan keperitan hidup mereka.

Sebenarnya ramai peniaga tempatan yang telah berpindah ke Muar, Temasik, Pahang dan Terengganu kerana tidak tahan dikenakan cukai yang tinggi serta gangguan lanun dan perompak yang menjadi-jadi. Kelompok perompak dan lanun telah menguasai sebahagian besar kampung-kampung. Akibat pengurusan yang lemah juga, ramailah pegawai istana yang bersekongkol dengan penjenayah ini. Mereka mengambil habuan dengan memeras keringat rakyat atau menutup sebelah mata sahaja apabila melihat kezaliman.

Golongan istana sudah tidak ambil peduli akan apa yang berlaku dalam jajahan mereka. Sultan Melaka dilindungi oleh golongan bangsawan agar hanya menerima berita yang baik-baik sahaja demi menjaga periuk nasi masing-masing. Pengurusan istana Melaka semenjak sekian lama telah dikuasai oleh golongan mamak yang berasal dari tanah Gujerat lalu bersemenda dengan masyarakat tempatan. Dengan memastikan kuasa istana hanya berlegar dikalangan mereka sahaja, golongan mamak ini dapat hidup selesa dan kaya-raya. Mereka jugalah yang mencatur pentadbiran istana dan sentiasa memastikan Sultan pilihan mereka kekal di singgahsana.

Situasi yang lebih membimbangkan ialah pengaruh kumpulan pemberontak istana yang semakin kuat. Mereka sebenarnya adalah penyokong Hang Jebat yang dianggap telah mati syahid ditangan seorang raja yang zalim. Walaupun Jebat sudah tiada lagi, usaha menyanggah kuasa raja yang ditunjukkan Hang Jebat berjaya membekas dihati rakyat. Oleh kerana istana Melaka adalah kawasan larangan, kebanyakan pemberontak ini tidak tahu pun cerita sebenar disebalik sejarah pertikaman Hang Tuah dan Hang Jebat, namun mereka tetap bersimpati dengan Hang Jebat kerana lantaran telah dikhianati saudaranya sendiri.

“Nampaknya aku telah menjadi musuh kepada ketiga-tiga puak yang sedang berebutkan negeri Melaka ini”. Hang Tuah tersenyum sendirian mengenangkan nasibnya yang sudah jauh berubah hari ini.

Tiba-tiba dia disergah dari belakang.

“Apa Orang Kaya buat disini? Tak takutkah nanti Orang Kaya dan isteri Tuan diapa-apakan?” Si lelaki bertanya dengan nada tergesa-gesa.

Hang Tuah tidak membawa senjata pagi itu, namun sentiasa awas dengan ancaman yang mungkin menimpa dirinya atau isterinya. Dia tahu Tun Sendari ada menyimpan kerambit kecil didalam sanggulnya untuk mempertahankan diri. Hang Tuah mula membayangkan bilangan langkah yang diperlukan untuk mengambil kerambit tersebut dan membenamkannya ke leher lelaki yang kurang ajar ini.

Cuma dia belum berasa terancam lagi

“Saya datang hanya untuk menemankan si isteri, kerana menurutnya berjalan-jalan di pasar ini banyak sekali ranjaunya sekarang.” Hang Tuah cuba berkias. Dia mahu pastikan niat sebenar lelaki ini.

“Orang Kaya Datuk Laksamana, kehadiran Datuk ke pasar ini sebenarnya hanya akan lebih membahayakan isteri Datuk, bahkan boleh mengancam nyawa kami yang berdagang di pasar ini. Datuk dan isteri bukanlah orang biasa-biasa kerana sudah dikenali di seluruh negeri Melaka ini.” Lelaki ini kemudian memandang pakaian Hang Tuah dari bawah ke dastarnya lalu tersenyum seolah mahu menyindir.

“Pakaian perca yang Datuk kenakan ini sedikitpun tidak mampu menyembunyikan diri Datuk yang sebenar, dan sudah tentulah tidak akan dapat menipu mereka yang berdendam dengan Datuk.”

Si lelaki seolah-olah sudah tahu soalan yang bakal ditanya Hang Tuah, “…maafkan saya Datuk Laksamana kerana sedikit terkasar tadi. Nama saya Pak Ali dan saya peniaga di sini. Saya setuju dengan pandangan isteri Datuk bahawa pasar ini sudah tidak selamat sekarang. Saya sarankan Datuk segera pulang sebelum keadaan menjadi lebih buruk lagi”. Pak Ali tegas mencadangkan.

Barulah Tuah faham kenapa isterinya culas untuk ke pasar. atau kenapa anaknya Tun Biajid sering sahaja dipukul budak-budak kampung. Ada dendam yang belum selesai rupanya.

“Terimakasih Pak Ali kerana mengingatkan. Nampaknya keadaan negeri kita ini jauh lebih buruk dari yang saya sangkakan.” Hang Tuah cuba menduga Pak Ali sekali lagi.

“Syukurlah kerana Datuk Paduka faham. Mungkin sudah sampai masanya negeri ini dipulihkan kembali…dan agaknya Datuklah harapan kami”. Terpegun Hang Tuah mendengar kata-kata Pak Ali. Diucapkan salam sebelum meninggalkan orang tua itu lalu bingkas mendapatkan Tun Sendari.

Barangan keperluan rumah sudah diperolehi. Tanpa berlengah lagi Hang Tuah mengajak isterinya pulang ke rumah. Cuma hatinya tiba-tiba berdebar, dan Hang Tuah yakin kali ini bahaya sedang menunggu.

Tidak berapa jauh dibelakang, tiga pemuda semakin menghampiri Hang Tuah dan Tun Sendari.

Mereka ada hutang lama yang mesti dilunaskan. Dan mereka mahu darah Hang Tuah…