Sekiranya kita memandu ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur atau Kuantan menggunakan laluan pantai sudah tentu kita akan melalui bandar Paka yang terkenal dengan industri petroleumnya. Petanda anda sudah sampai ke Paka ialah dengan melihat serombong-serombong tinggi mengeluarkan api yang dipanggil Flare Stack.

Saya sering ditugaskan ke Paka sekitar tahun 1997-2003 apabila industri minyak dan gasnya sedang rancak membangun. Hotel-hotel pada ketika itu sentiasa penuh, manakala gerai-gerai makan tidak pernah sunyi dengan pengunjung termasuklah saya yang paling suka memesan air buah gelas besar bersama sotong goreng celup tepung (ketika itu terma ICT belum popular lagi). Sewa rumah di sekitar Paka mahal sekali berikutan permintaan yang tinggi. Kebanjiran expatriate serta kedatangan vendor petrokimia dari Kuala Lumpur seperti saya merupakan faktor utama kegiatan ekonomi di Paka berkembang begitu pesat. Saya masih ingat pada waktu malam Hotel Awana Kijal sentiasa meriah dengan orang KL yang mahu bersantai bersama pelanggan atau rakan-rakan.

Kesibukan di Paka dikatakan tidak banyak bezanya dengan satu lagi pekan bersejarah di negeri Terengganu pada tahun-tahun 1930-1960 dahulu. Pekan yang letaknya lebih kurang 30km dari Kuala Dungun, 90km dari Kuala Terengganu dan 140km dari Kuantan ini asalnya dikenali sebagai Permata Bumi sebelum dipanggil Bukit Seri Bangun. Namun bandar ini lebih popular dengan nama Bukit Besi lantaran penemuan bijih besi yang banyak kemudiannya.

Bukit Besi sekarang sudah sunyi sepi ibarat pekan hantu, walhal ia pernah menjadi pekan maju dan paling sibuk di Tanah Melayu. Sejarah perlombongan di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli geologi Jepun bernama Kuhara menjumpai bijih besi yang banyak di Hulu Dungun pada tahun 1916. Syarikat Kuhara Mining Limited mula menjalankan kegiatan melombong pada tahun 1927 sebelum diambil-alih oleh kerajaan Jepun dengan nama Nippon Mining Company (NMC). Ketulenan bijih besi yang tinggi sehingga 70% menjadikannya komoditi yang sangat berharga, sekaligus membolehkan kerja melombong dilakukan secara besar-besaran dengan modal banyak, sehinggalah terbangunnya pekan Bukit Besi yang lengkap dengan kemudahan moden seperti bekalan air, elektrik, telekomunikasi, rumah, sekolah dan lain-lain lagi.

Jika Paka dikenali dengan serombong apinya, maka Bukit Besi pula terkenal kerana landasan keretapi. Perkhidmatan keretapi terpaksa dibina bagi memudahkan kerja mengangkut bijih yang asalnya terpaksa dibawa dengan kereta tolak sejauh 10km ke Kampung Dendang sebelum boleh diangkut dengan bot menyusuri sungai sejauh 25km hingga ke Kuala Dungun. Landasan keretapi pertama ialah dari Bukit Besi ke Kampung Che Lijah, dan apabila Bukit Tebuk berjaya ditembusi landasan tersebut bersambung sehingga ke Kampung Nibung dan berakhir di Sura Gate. Perkhidmatan keretapi awam turut disediakan secara percuma dan menjadi tarikan utama masyarakat setempat.

Penglibatan Jepun dengan lombong bijih di Bukit Besi pada tahun 1930-40an juga amat strategik. Hasil bijih dihantar ke Jepun bagi membina kapal perang, kereta kebal, bom, senapang dan peluru tetapi ironinya senjata tersebut digunakan pula bagi menjajah rakyat negara ini.

Jepun pernah meletakkan ‘spy’nya sebagai pengurus lombong NMC dengan misi khusus. Ketibaan lebih 5200 tentera Jepun di pantai Kota Baru pada tengah malam 8 Disember 1941 antaranya adalah hasil risikan pengurus lombong NMC di Bukit Besi.

Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan lombong NMC di Terengganu menjadi hakmilik kerajaan British. Disebabkan darurat yang berpanjangan kerajaan British mengambil keputusan menjual syarikat NMC kepada sebuah syarikat Amerika bernama Eastern Mining and Metal Company (EMMCO). Nasib EMMCO lebih baik apabila menerima permintaan yang tinggi daripada syarikat-syarikat di Jepun yang mahu membina semula kota mereka yang musnah akibat perang.

Kemuncak pengeluaran bijih besi EMMCO diantara tahun 1960-1964 mencecah sehingga 5 juta tan setahun sebelum lombong tersebut ditutup sepenuhnya pada tahun 1970. Laporan terkini kerajaan negeri Terengganu menganggarkan masih terdapat lebih 50 juta tan deposit bijih besi disana.

Sepertimana pembinaan jalan raya moden, pembinaan landasan keretapi merupakan pemangkin pembangunan Bukit Besi dan Dungun pada zamannya. Jumlah pekerja EMMCO meningkat sehingga 8000 orang dengan kebanyakannya bekerja sebagai buruh. Deretan kedai serta rumah kediaman moden di sepanjang laluan keretapi Bukit Besi sehingga ke Sura Gate mendahului zaman dan menjadi inspirasi penduduk setempat.

Sukar untuk kita membayangkan keterujaan warga Dungun yang selama ini tidak pernah melihat keretapi, masih bergantung pada sungai sebagai laluan utama, sebahagian besarnya masih bekerja sebagai petani atau nelayan dengan pendapatan yang tidak menentu.

Daripada ribuan pekerja lombong EMMCO tersebut, salah seorang daripada mereka ialah pemuda Melayu tempatan berusia 30-an bernama Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Chik. Chik tinggal di Sura Gate bersama isteri dan anak-anak yang masih kecil melakukan perbagai pekerjaan.

Chik adalah seorang tukang kayu yang mahir, tidak banyak bercakap, tegas dan tinggi ilmu serta sahsiahnya. Mungkin kerana tertarik dengan upah yang tinggi, Chik dan kawan-kawannya mengambil keputusan bekerja di lombong EMMCO bermula dengan mengangkut bijih dari pusat pengumpulan masuk ke kapal besar di Jeti Sura Gate. Chik kemudiannya diantik menjadi tukang mahir di syarikat yang sama.

Abdul Rahman atau Chik adalah Datuk saya di sebelah ibu. Saya memanggilnya Tokki dan sempat bersama-sama dengannya sehingga tamat Tingkatan 5. Kisah Tokki sebagai pekerja lombong EMMCO di Bukit Besi serta penghijrahannya sekeluarga ke Kuantan akan saya rakamkan dalam dua siri yang akan datang agar menjadi iktibar buat mereka yang mahu belajar dari sejarah, atau buat mereka yang masih sayangkan agama, bangsa serta ibu pertiwi.

To be continued…