Hang Tuah sedar dari tadi lagi dia sedang diekori. Sekarang dia mahu pastikan siapa orangnya.

“Ibunya Ajid, kamu dan inang pulang dulu ya? Aku mahu ke rumah Datuk Paduka sebentar.” Tun Sendari kehairanan tetapi malas untuk bertanya lanjut. Fikirannya semak menyusun juadah makan tengahari nanti.

“Tetapi Abang janganlah berselera sangat makan di rumah Tun Perak tu. Siapa pula yang akan habiskan lauk kita nanti.”

“Iya, tapi engkau tu pulang terus ke rumah, jangan singgah di mana-mana lagi.”

Sebaik Tun Sendari beredar, Hang Tuah mengambil secubit tanah lalu menjampi-serapah tanah tersebut sebelum menghembuskan ke arah isterinya.

“Bismillah. Kami adakan dinding di hadapan dan di belakang mereka; dan Kami tutup mata mereka sehingga tidak dapat melihat. Amin.” Tuah menarik nafas lega kerana keselamatan Tun Sendari kini dibawah Dia Yang Maha Melindungi.

Hang Tuah kemudian berhenti di sebuah gerai menjual rempah-ratus bagi memastikan isterinya sudah tidak diekori. Dia juga mahu melihat sendiri wajah bedebah-bedebah yang berani tidak bertempat itu.

Rupanya pemuda yang mengekorinya juga sudah menjengulkan diri. Mereka tidak berminat dengan Sendari. Dari jauh mereka menyengih sombong pada bekas Hulubalang Melaka itu. Tuah membalas dengan mengangkat tangan dan mula menapak keluar dari kawasan pasar. Dia perlu mencari tempat yang lebih sunyi, tidak mahu terjeromo dengan pegawai istana dan tidak mahu mengganggu orang-ramai. Dia juga perlu pastikan berapa bilangan seteru yang sebenar.

Pemuda-pemuda itu mengejar dengan pantas.

“Berhenti dulu Datuk!”

Mereka kenal aku rupanya. Tiga orang sahaja. Senang kerja aku.

Salah seorang daripada pemuda tersebut bersuara sebaik berhenti beberapa depa sahaja jauhnya dari Hang Tuah. Tinggi dan hitam orangnya.

“Wah, wah, wah Datuk Laksamana ni, senang hati betul Datuk berjalan-jalan di pasar ya. Datuk tak tahukah siapa yang berkuasa di Melaka sekarang?

Tuah teringat gelak ketawa pemuda-pemuda di warung makan ketika di pasar tadi. Lanun dan perompak?

“Datuk sudah tua, usahlah berani-berani keluar rumah. Datuk fikir Datuk masih kebal agaknya? Taming Sari yang Datuk sayangkan sangat itupun sudah ghaib entah ke mana.” Kali ini pemuda yang berbadan gempal pula menyampuk. Suaranya yang sedikit terketar itu membuatkan Hang Tuah tersenyum. Dialah yang pertama kena dengan aku nanti.

“Mahu ke mana lagi hah pengkhianat?” Sergahan pemuda yang berparut besar di pipinya membuatkan Tuah sedikit terperanjat.

“Aku memang hendak pulang ke rumah, tetapi kamu yang menghalang. Yang sebetulnya kamu bertiga ini siapa, dan mahu apa dari aku?”

Mata Tuah tajam memerhatikan ketiga-tiga pemuda yang sudah mengeluarkan keris dari pinggang masing-masing. Memegang keris sebegitu rupa walaupun masih bersarung menandakan sudah ada niat yang jelas untuk bertikam.

Dengan firasatnya Tuah cuba menafsirkan air muka, peluh, pakaian, capal, cara berdiri, cara memegang keris serta bentuk hulu keris mereka digunakan. Kesemua maklumat tersebut penting kerana pada usianya dia tidak boleh terlalu lincah dan dia tidak mahu membazir kudrat sekiranya tidak perlu.

Dia juga tidak bersenjata.

Si Hitam tiba-tiba sahaja meluru ke depan untuk menyerang Hang Tuah, sekaligus mengejutkan dua rakannya yang tidak menyangka. Hang Tuah bergerak satu tapak ke kanan untuk mengelak. Badannya kekal tegak; cuma kepalanya sahaja yang mengikut rapat arah tendangan Hitam sebelum menepis kaki Hitam dengan siku kanannya.

“Hai, nampaknya kamu bertiga nekad sungguh mahu membunuh aku!”

Hang Tuah mula memasang kuda-kuda. Kuda-kuda Laksamana tua walaupun tidak setegap dahulu, masih cantik dan pasaknya juga masih kuat mencengkam bumi. Silakan orang muda!

Si Hitam menyerang lagi, kali ini sambil meluru, keris yang tadinya tersarung dicabutnya keluar sambil melompat tinggi ke arah ‘musuhnya’.

Dari mana dia belajar tendangan melingkar seperti itu? Bukankah itu tendangan si…..?

Sekali lagi Hang Tuah menepis tujahan keris Hitam, tetapi kali ini dengan sepantas kilat dia meluru ke arah dua rakan Hitam yang masih terpinga-pinga. Tuah menghentak lutut kanan si Gempal dengan tapak kaki kirinya. Pada masa yang sama pula tangan kanannya menetak bahu si Parut, tepat mengenai sendi di antara tulang bahu dan lengannya.

Kedua-dua rakan Hitam jatuh menggelupur kesakitan. Gempal menjerit melolong bukan kerana sakit sahaja tetapi ngeri melihat kepala lututnya yang hilang; sudah terpusing ke belakang. Hampir serta-merta juga kakinya yang sudah terkulai itu mulai bengkak dan membiru. Sudah ada urat yang tersimpul didalam.

Serangan Hitam langsung tidak menjadi, sebaliknya kedua rakannya pula yang rebah. Hitam kaget melihat keadaan sahabatnya. Dia langsung tidak menyangka serangan Hang Tuah yang sepantas kilat itu mematikan rentak pasukannya. Nalurinya kuat mahu menyerang balas tetapi badan dan akalnya membantah. Peluangnya untuk menang kini kosong.

“Kau tunggu apa lagi? Hang Tuah kalau bertikam kesudahannya hanya mati sahaja! Elok berambus sebelum leher kau pula yang aku patahkan!”

Tuah lega kerana Hitam tanpa berfikir panjang lari lintang pukang entah ke-mana. Budak ini masih sayangkan nyawa. Tuah tahu pemuda-pemuda tersebut bukanlah perompak atau lanun. Firasatnya sudah mengatakan demikian dari awal lagi.

Dia kemudiannya berjalan mendekati Parut dan Gempal yang sudah lumpuh. Dia duduk melutut di sebelah Gempal, cuba untuk mengecam wajah anak muda tu. Tak kenal. Kemudian keris pada tangan Gempal pula dirampas. Hang Tuah memegang hulu keris tersebut, memeriksa mata kerisnya dan menimbang-nimbangnya dengan mengacah ke kiri dan ke kanan. Bagus juga buatan keris ini.

Gempal memejamkan mata dan pasrah. Dia tahu nyawanya bakal melayang pada bila-bila masa.

“Janganlah di bunuh dia Datuk!”

“Kau diam!” Pandai pula si Parut meminta nyawa.

Hang Tuah memegang betis Gempal. Mata keris yang masih ditangannya ditusukkan pada lutut Gempal.

“Jangan bergerak.” Hang Tuah mula menoreh kepala lutut Gempal. Darah hitam pekat memancut-mancut keluar. Tuah terus menekan-nekan lutut lawannya bagi mengeluarkan sebanyak mungkin darah dan bisa. Tidak lama kemudian dibengkok-bengkokkan pula kaki Gempal sebelum merentapnya lurus dan kuat dengan sekali rentapan.

“Aduhhh!” Gempal terlolong lagi. Tetapi jeritannya tidak lama. Dia memegang kakinya dan menendang-nendang ke hadapan. Sakitnya sudah hilang.

Gempal gembira bukan kepalang; tetapi sebaik menyedari lelaki dihadapannya masih menjadi ancaman, dia berundur sedikit ke belakang. Si Parut juga cuba untuk berundur walaupun bahunya masih pedih ditetak Hang Tuah.

“Siapa yang menghantar kamu?”

Gempal dan Parut tunduk tidak menjawab.

Hang Tuah tidak mahu membuang masa lagi. Dipegangnya lengan si Parut, dipusing-pusingkan sendi pada bahu Parut sebelum merengkuhnya lurus. Kalau kail panjang sejengkal…

Hang Tuah bingkas bangun sambil membersihkan pasir serta daun-daun kering yang melekat pada bajunya. Dia tidak mahu isterinya berleter pula apabila pulang nanti.

“Sabar dulu Datuk Laksamana.”

Hang Tuah berdiri tegak menunggu jawapan, walaupun dia sebenarnya sudah dapat mengagak.

“Kami bertiga ini murid kepada saudara Datuk Laksamana sendiri…Hang Kasturi.”