“Ampun Tuanku, Datuk Paduka Raja, Bendahara Tun Perak masuk mengadap!”

Tanpa memandang pun utusannya, Sultan Mahmud Shah memberi isyarat memperkenankan.

Lama juga dia berdiri sambil menopang dagu pada bingkai jendela. Balai Raja di sebelah timur istana itu istimewa kerana ia merupakan bahagian tertinggi istana dan betul-betul mengadap pelabuhan Melaka.

Fikirannya tenang setiap kali menyaksikan matahari terbenam, yang seolah-olah sedang tunduk hormat padanya. Setiap petang pula sang suria itu akan menghadiahkan pemandangan ajaib apabila warna biru lautan bertukar jingga-merahan manakala warna-warni kapal menjadi hitam-keemasan; menambah keyakinan raja bahawa negeri dan segala apa yang ada didalamnya adalah miliknya.

Baginda bangga melihat muara sungai Melaka yang sentiasa sibuk dengan dengan ribuan perahu, kolek, gelibat, sekoci, payang dan jalor yang bersimpang-siur. Muara itulah satu-satunya pintu masuk bagi membawa hasil dagangan serta hasil tangkapan laut para nelayan. Jong dan bedar yang berlabuh di pelabuhan kebiasaannya akan memindahkan barang dagangan mereka ke perahu-perahu kecil sebelum berlayar ke daratan.

Sebaik masuk ke muara, perahu-perahu ini akan diperiksa pula oleh penguasa-penguasa Syahbandar di Jambatan Parameswara. Setelah membayar cukainya barulah barang-barang tersebut boleh dipunggah ke Pasar Besar Melaka untuk diniagakan. Kanun Laut Melaka yang telah diiktiraf sebagai undang-undang samudera terbaik dunia menguatkuasakan peraturan serta hukuman yang ketat lagi berat bagi memastikan perairan Melaka tertib dan aman.

Jambatan Parameswara turut berfungsi sebagai penghubung dua tanah besar kerajaan Melaka. Kampung Hilir di mana Pasar Besar Melaka didirikan menjadi penempatan utama penduduk negeri. Pasar yang dianggap simbol kekayaan dan kemakmuran Melaka itu sudah menjadi persinggahan wajib para pedagang dari seluruh pelusuk dunia.

Kampung Upeh pula merupakan pusat pentadbiran kerajaan Melaka yang menempatkan Istana Besar di puncak Bukit Melaka. Pagar batu yang besar dan tinggi menjadi benteng pemisah antara istana dan kediaman mewah para pembesar Melaka, saudagar dan para maulana. Selain itu, lebih 300 keluarga Cina dari Kerajaan Ming yang datang bersama rombongan Laksamana Zheng He, atau yang telah mengikuti rombongan Puteri Hang Li Po ketika mengahwini datuknya Sultan Mansur telah diperuntukkan satu kawasan subur dilereng Bukit Melaka. Masjid Jamek Negeri Melaka yang dibina di pantai Kampung Upeh pula menjadi simbol syiar Islam yang sedang mekar berkembang di bumi Melayu itu.

“Ahh, Datuk Bendahara…jemput duduk. Sedang elok Datuk sampai, bolehlah temankan kita bersireh dahulu.”

Berbeza dengan Sultan Alaudin yang berpangkat anak saudara juga kepada Tun Perak, Sultan Mahmud cucu saudaranya itu lebih santai setiap kali mereka duduk berdua. Bukanlah perkara yang pelik lagi untuk melihat Raja yang bertubuh tegap dan sasa itu berlengging sahaja ke sana-sini di kawasan istana.

Petang itu tempat khas di sudut Balai sudah dihamparkan tikar serta bantalnya untuk berehat, siap dengan dulang emas yang sudah diisikan kelengkapan untuk bersireh.

Sebaik sahaja mereka duduk, dua dayang istana masuk membawakan kendi dan ketur. Selesai menghidangkan air minuman dan kudapan, mereka terus keluar diiringi pengawal istana yang akan menutup rapat pintu balai peribadi raja. Semenjak peristiwa Hang Jebat, kawalan istana telah diperketatkan. Pengawal kini terpaksa berdiri jauh dari istana agar tidak dapat mendengar butir perbincangan antara raja dan para penasihat baginda.

Jendela balai dibiarkan terbuka untuk mengurangkan bahang petang, manakala. kincir angin yang tergantung di siling balai masih berbuai sederhana, menandakan petugas yang memegang tak kincir masih belum pulang.

“Silakan Datuk. Jamahlah apa yang ada ini sambil-sambil kita berbincang.”

Tun Perak tunduk taat. Dia kemudian mengeluarkan buntil sutera dari gulungan kain sampingnya. Sultan memerhatikan sahaja gelagat Bendahara, melihat tangan Tun Perak yang sudah berkedut seribu itu terketar-ketar mengeluarkan dua biji Sireh daripada buntil suteranya.

“Hai Datuk Bendahara ni, istimewa sangatkah sireh Datuk itu sampaikan sireh Raja Melaka pun ditolaknya?”

“Ampun Tuanku, jemputlah merasa sireh kiriman Hang Tuah ini. Dititipkan oleh Datuk Laksamana sendiri kelmarin ketika patik menziarahinya.”

Wajah Sultan berubah sedikit sebaik mendengar nama itu disebut. Baginda sedar dia tidak boleh sewenangnya murka pada datuk saudaranya yang telah banyak berjasa itu. Peralihan kuasa yang berlaku secara tiba-tiba lantaran kewafatan mengejut Sultan Alaudin banyak menimbulkan huru-hara. Ditambah pula dengan derhakanya si Jebat keparat hampir sahaja menggulingkan baginda jika tidak kerana kebijaksanaan Tun Perak sendiri. Cuma pada masa yang sama dia geram juga dengan tingkah laku Tun Perak yang sudah tidak cemerkap seperti dahulu. Jauh disudut hati, dia sebenarnya sudah tak sabar lagi untuk melantik bapa saudaranya Tun Mutahir sebagai Bendahara yang baru.

“Datuk nampaknya belum habis lagi rindunya pada si Tuah. Biarlah dia berehat dengan keluarganya Datuk. Kita disini pun sudah terlalu ramai hulubalang dan bentara yang jauh lebih muda dan tangkas dari Hang Tuah.”

Tun Perak kemudian sengaja meletakkan sirih kiriman Hang Tuah di antara gugusan sireh Raja yang lain. Untung sabut, Sultan akan mengambil sireh si Tuah, barulah lunak sedikit bahasanya nanti. Ada perkara besar yang mesti aku sampaikan pada Baginda malam ini juga; tidak boleh kutangguh lagi.