Al-kisah Tanah Melayu yang pernah menyembah Raja Porto, Raja Holanda, Maharaja Jepang dan Ratu Inglan selama 446 tahun itu akhirnya kembali bertuankan Raja-raja Malaya pada hari Sabtu, 5 Safar 1377H. Seorang anak raja dari negeri Kedah telah mencemar duli dan menggelar dirinya Perdana Menteri Pertama (PM1). Jika dahulu Bendahara menjadi Raja tetapi kali ini Raja pula yang menjadi Bendahara.

PM1 walaupun begitu besar budinya melepaskan kita dari belenggu perhambaan akhirnya terpaksa berundur jua kerana gagal mengurus pembantaian antara kaum pada suatu pagi Selasa, 26hb Safar 1389. Dia juga dikatakan kecil hati dengan seorang doktor muda dari negeri yang sama dengannya kerana telah mengirim surat kepadanya, memarahinya teruk-teruk kerana sanggup menggadai Temasik kepada orang Cina.

PM1 pun berundur dan memberi laluan kepada PM2, se-Orang Kaya dari negeri Inderapura. PM2 simpati pada bakal PM4 yang dipecat oleh PM1 lalu diampunkan dan dibawa masuk semula ke dalam kerajaan sebagaimana Laksamana Hang Tuah yang dihukum bunuh itu dibawa masuk semula ke istana untuk membunuh sahabat baiknya Hang Jebat.

PM2 yang berjiwa rakyat tiba-tiba jatuh gering lalu wafatlah di Inglan. Timbalannya diangkat menjadi PM3 tetapi gering juga sebelum wafat tak berapa lama kemudian. Entahlah, mTun-Hussein-Onn-perdana-menteri-malaysia-ketigaungkin kerana rezekinya atau kehebatan strateginya maka doktor muda yang suka marah-marah itu, yang dibenci PM1, diampun PM2, yang dijadikan timbalan oleh PM3 akhirnya ditabal menjadi PM4 pada hari Khamis 15hb Ramadhan 1401H.

Lama PM4 ini memerintah. Laksana Paduka Raja Tun Perak yang menggemilangkan Melaka, begitulah juga halnya dengan PM4 yang menggemilangkan Tanah Melayu.

Namun demikian pada malam Ahad 29hb Jamadil-Awal 1419H iaitu dikala rakyat sedang bergembira melihat Ratu Inglan mengelilingi Stadium Nasional merasmikan Sukan Antara Negara-Negara Bekas Jajahan Empayar Inglad, timbalan PM4 yang sudah sekian lama dilatih untuk menjadi PM5 ditangkap polis, dipukul dan dipenjarakan.

Reformasi! Reformasi! Reformasi!

PM4 akhirnya tumbang lima tahun kemudian setelah gagal menghalang tsunami Reformasi lalu digantikan dengan PM5 orang utara juga, cucu kepada ulama besar Nusantara. Bekas PM4 mahu bakal PM6 yang merupakan anak sulung kepada PM2 yang pernah mengampunkan PM4 dahulu untuk menjadi PM5 tetapi berdepan PilihanRakyat yang lebih genting, PM5 yang lebih alim dan bersih itu terpaksa diberikan laluan untuk memerintah.

Pasukan Pemerintah menang besar. Strategi meletakkan PM5 menjadi. Tetapi dalam diam bakal PM6 bin PM2 mula mengorak langkah. Disebalik Islam Hadhari yang dicadang PM5, atau dicelah-celah gelagat PM5 yang baru menduda lalu bernikah lain, atau tabiatnya yang suka qailulah diatas pentas, rakyat mula risau kalau-kalau tersalah pilih kerajaan. Bekas PM4 mula berkempen menjatuhkan PM5 dan mengajak orangramai menggantikan dengan timbalan PM5 iaitu bakal PM6 bin PM2. Disebalik skandal yang besar-besar ketika bakal PM6 bin PM2 menjadi Menteri Senjata, maka akhirnya pada hari Rabu, tanggal 15hb Zulkaedah 1424H, tertulislah dalam Sejarah Melayu PM6 bin PM2 bersama isterinya yang digelar Wanita Pertama sebagai Ketua Negara Tanah Melayu.

Terimakasih kepada bekas PM4. Rakyat jelata gembira tak terkata. Nampaknya Tanah Melayu bakal gemilang semula. PM4 gembira. PM5 juga gembira bersama isteri baru dan menantunya, PM6 bin PM2 sudah tentulah yang paling gembira. Calon PM5 yang baru sekejap menghirup udara bebas dihumban semula ke dalam penjara oleh PM6 bin PM2.

Diam tak diam, masa terus berlalu tidak pernah ditangguh walau sesaat. Dipendekkan ceritera, pada hari ini Khamis 24hb Rabiul Akhir 1439H, PM6 bin PM2 masih bergelar PM6 walaupun dihenyak perbagai tohmahan dan skandal. PM4 bakal menjadi PM7, jika beliau menang. Isteri calon PM5 bakal jadi Timbalan PM7, atau PM7 wanita yang pertama di Tanah Melayu. Suaminya yang masih dalam penjara akan dibebaskan pada hari Jumaat 25hb Ramadhan 1439H nanti. Namun pada ketika itu PilihanRakyat edisi ke-14 berkemungkinan besar telah dimuktamadkan. PM6 bin PM2 mungkin akan kekal sebagai PM6. Bekas PM4 mungkin jadi PM7. Isteri calon PM5 dan suaminya yang dalam penjara boleh menjadi PM8.

Ceritera belum berakhir.

Sekiranya kalah PM6 bin PM2 akan menerima nasib sama seperti bekas calon PM5 yang sedang merengkok di Sungai Buloh. Anak-anaknya atau cucu-cucu PM2 tidak ada yang berjiwa rakyat seperti atuk mereka. Anak lelaki PM3 sedang bertapa menambah ilmu kini menjadi menteri Senjata. Begitu juga anak menantu PM5 yang sedang menjadi Menteri Sukaneka juga boleh menjadi PM9 jika diizinkan Tuhan. Anak PM4 sedang mengumpul kekuatan di jajahan Jerlun untung sabut boleh jadi PM9 bin PM4. Anak gadis calon PM7 atau bakal PM8 yang cantik manis itu jika segalanya berhasil boleh juga menjadi PM9 bin PM7 atau PM8.

Anak pemimpin pembangkang dari Pulau Pinang, anak pemimpin Parti Agama dari negeri Terengganu, anak almarhum Menteri Besar dari negeri Kelantan masing-masing masih boleh memasang cita-cita merampas takhta . Jawatan PM10 masih terbuka.

Dengan itu tamatlah ceritera politik bru-haha negeri jantung pisang yang hamba sedang diami ini. 100 tahun menjadi hamba Raja-raja Melayu, 446 tahun menjadi hamba raja-raja kafirun, dan 60 tahun selepas PM1 melaungkan Merdeka!, kehidupan 30 juta rakyat negara ini rupa-rupanya masih terbelenggu, masih di atas batu jemala 10 orang terpower di Malaysia, berebutkan takhta sesama sendiri.