“Apa khabar Hang Tuah kita tu?” Tiba-tiba Raja bertanya; dan dalam pada itu tangan kanannya sempat memetik sebiji sireh Hang Tuah. Tun Perak menjeling dengan rasa lega dan syukur kerana ‘umpannya’ sudah mengena.

“Ampun Tuanku, alhamdulillah dia baik-baik sahaja dan menyampaikan salam takzimnya buat ke Bawah Duli Tuanku.”

“Hmm…”

Sultan sengaja menjawab tak acuh sambil mengunyah sirehnya. Kedua-dua orang besar Melaka itu diam seketika untuk menghancurkan sirih didalam mulut masing-masing. Apabila campuran daun sireh, pinang, kapur, cengkih, gambir, tembakau terengganu dan garam sudah sebati, kapur dengan rasa pedas dan panasnya, gambir dan tembakau dengan rasa kelatnya serta cengkih dan garam yang menambah perisa serta aroma; barulah datang nikmat sebenar sireh.

Maka tersandarlah Sultan Melaka itu pada bantal dibelakangnya. Matanya yang mulai kuyu itu menandakan Raja sudah semakin tenang, atau mungkin pening-pening lalat kesan adunan sireh Hang Tuah.

Tun Perak memberanikan dirinya merenung wajah Sultan untuk cuba membaca isi hati Baginda. Tun Perak terkenangkan detik pertabalan raja yang dibuat begitu tergesa-gesa dahulu.

Raja Mahmud ketika itu masih belasan tahun. Tun Perak cuba mengingat kembali wajah-wajah lain di atas singgahsana Sultan yang nampaknya jauh lebih gembira daripada Sultan Mahmud sendiri. Tun Perak yang masih terkejut dengan kehilangan almarhum Raja Alaudin, seorang yang zuhud dan cukup disenangi rakyat jelata pasrah dengan ketentuan itu dan tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan.

Namun untuk mangkat pada usia yang muda sudah tentu akan menimbulkan banyak cakap-cakap di perkarangan istana. Ramai pekerja istana yang marah dan kecewa melihat budaya caras-mencaras yang semakin tidak terkawal, mula bertindak dengan menyatakan sembah derhaka mereka kepada istana secara terbuka dan mengajak orang ramai memberontak.

Termasuklah Hang Jebat Hulubalang Melaka.

Sepuluh tahun cepat sekali berlalu dan keamanan negeri sedikit sebanyak telah berjaya dikembalikan. Hasil perkahwinan campur diantara Raja Alauddin dengan isteri keduanya Tun Senaja, Sultan Mahmud kini telah menjadi seorang Raja yang segak dan tampan. Tidak seperti anak raja Melayu lain yang tidak tinggi, sawo-matang kulitnya serta keriting rambutnya; Sultan Mahmud tinggi lampai orangnya, kulitnya putih kemerahan, rambutnya beralun dan lebat, manakala wajahnya dan dadanya yang bidang itu pula sentiasa dihiasi jambang serta bulu dada yang ikal.

Dari sudut tingkahlaku pula, Sultan Mahmud banyak mengambil acuan bondanya Tun Senaja yang lantang dan panas baran. Memang dari awal lagi hubungan Tun Senaja yang berketurunan India-Muslim itu dengan Tun Fatimah isteri pertama Sultan Alaudin sentiasa sahaja bergolak. Ditambah pula apabila masing-masing dianugerahkan seorang sahaja putera; Raja Munawar putera kepada Tun Fatimah dan Raja Mahmud pula beribukan Tun Senaja.

Itulah kali pertama darah keluarga di raja Melayu hilang ketulenannya. Walaupun Raja Munawar merupakan pewaris sebenar kesultanan Melaka, pakatan keluarga Tun Senaja yang banyak didukung oleh pemerintah serta pedagang berdarah India-Muslim yang kaya-raya sedikit sebanyak telah berjaya mengalih sokongan daripada Raja Munawar. Ditambah pula dengan keperibadian Raja Mahmud yang lebih menarik dan lebih bijak berkata-kata berbanding abang tirinya itu.

Sultan Alaudin mangkat tatkala Tun Perak sedang berada di Pahang, sekaligus menyaksikan Penghulu Bendahari iaitu adiknya Tun Perpatih Putih memangku tugas Bendahara. Tun Perpatih yang tidak pandai selok-belok istana akhirnya menjadi kera sumbang dicelah-celah penyokong Raja Mahmud. Keperibadiannya yang lemah tidak memungkinkan beliau untuk mencabar cadangan Tun Senaja atau mengenepikan pandangan Datuk Syahbandar Tun Mutahir; yang akhirnya terpaksa menerima pertabalan Raja Mahmud sebagai Sultan Melaka yang baru.

Tun Perak sendiri ada juga menerima risikan yang kononnya Sultan Alaudin mati diracun, manakala sebahagian besar pemuka negeri Melaka telah disogok dengan emas, harta dan pangkat, namun beliau tidak mahu serkap jarang terutama sekali dalam keadaan terpinggir seperti sekarang. Dia perlukan pahlawan bijaksana seperti Laksamana Hang Tuah untuk memberikan buah-pandangan yang lebih adil dan saksama.

“Datuk, aku sebenarnya masih sangsi dengan kesetiaan pegawai-pegawai negeri Melaka sekarang ini. Kita masih belum aman, pungutan cukai pula semakin berkurangan. Aku sudah serik untuk berurusan dengan sesiapa melainkan dengan orang yang aku betul-betul percaya. Kasturi tu bukan Datuk tidak tahu perangai liarnya. Dia dengan Jebat sama sahaja, pantang melihat dahi licin, sampai dayang-dayang istana aku ini pun mahu dimukahi. Aku ampunkan si Lekir dan Lukiwa kerana Datuk sendiri yang mencadangkan, itupun setakat menjaga anjing, kuda dan gajah istana. Memang tak akan kuizinkan mereka berdua menjejakkan kaki ke dalam istana ini lagi selama aku masih hidup.”

Sultan kembali duduk tegak. Matanya melilau-lilau, bibirnya terketap-ketap menahan geram, hatinya membuak-buak menahan marah, seolah-olah baru teringatkan sesuatu yang menyakitkan hati.

“Kerana Jebatlah, habis satu Melaka ini porak-peranda dibuatnya! Kalau diikutkan hati aku hukum pancung kelima-lima hulubalang derhaka itu. Bikin malu negeri Melaka sahaja.”

“Puih”, Sultan meludah sisa sirehnya ke dalam ketur lalu meneguk air yang telah disediakan.

Nampaknya Rajaku ini masih belum reda marahnya.

Matahari sudah tenggelam sepenuhnya meninggalkan bumi Melaka dalam kegelapan sementara. Atau mungkin untuk selama-lamanya.

Tun Perak terpaksa mencari helah lain untuk melunakkan hati raja. Cuma dia tidak tahu yang Raja juga ada percaturannya sendiri.