Selesai solat Isya’ malam itu, Hang Tuah bergegas mahu menyambung semula bacaan Al-Qurannya di ruang tamu. Dia masih merangkak-rangkak berbanding isterinya Dang Sendari yang sudah lancar dan mampu menghafal surah-surah pendek.

Tuah mengaji perlahan dengan nada yang rata sahaja, tidak berlagu. Sejurus habis membaca ayat yang ke-15 dari surah al-Qasas, dia tiba-tiba terkenangkan amanat gurunya dahulu. Mengikut ajaran Adi Putra, ayat yang baru dibacanya tadi mengisahkan bagaimana Nabi Musa a.s ketika remaja terpaksa melarikan diri dari buruan askar Firaun kerana telah membunuh seorang bangsawan berbangsa Qibti.

“Musa yang hidup serba-mewah di istana Firaun itu pun dalam sekelip-mata sahaja boleh menjadi musuh ketat Raja. Perancangan Allah tiada siapa yang tahu, Maha teliti, tiada siapa mampu menghalang atau menangguhkan walaupun sedetik.”

“Kau faham itu Tuah?” Mahaguru Adi Putra bertanya lagi. Hang Tuah yang masih kurang mengerti mengangguk sahaja. Mana mungkin dia tahu apa yang terselindung di sebalik kiasan gurunya itu dahulu.

Kitab al-Quran pemberian al-Marhum Sultan Mansur Syah itu ditandakannya dengan pelepah burung merak sebelum ditutup dan disimpan. Dia berbaring, sambil ingatannya pantas menyelak kisah-kisah lama. 40 tahun yang lalu, sama seperti junjungan Nabi Musa dia juga terpaksa melarikan diri dari musuh. Bukan Firaun tetapi anak penguasa negeri Gowa bernama Daeng Passulu.

Daeng Merpawah. Itulah nama asal aku. bukannya Hang Tuah. Pekerja istana yang sebahagian besarnya bukan berasal dari Melaka memang mahu melupakan nama sebenar mereka serta kisah-kisah lama yang penuh ranjau. Termasuklah sahabatnya yang berempat, pengawal, bentara, hulubalang, inang, dayang, gundik, tukang kayu dan tukang masak istana yang dibawa dari segenap ceruk Nusantara suka memilih nama-nama yang lebih secocok dengan negeri baru mereka. Tuah ingat lagi pertama kali dia menyebut nama kelahirannya, Hang Jebat yang memang kuat menyakat ketawa besar kerana nama tersebut lucu dan jarang didengar di Melaka. Tetapi lama-kelamaan nama Merpawah bertukar menjadi Toha. Kata gurunya nama baru tersebut lebih sesuai dengan keperibadiannya.

Tuah juga sudah lupa nama sebenar bapanya. Dia hanya ingat gelaran Tok Bajeng yang sering dipanggil oleh orang kampung, mungkin kerana pangkat ayah sebagai tok batin kampung Bajeng; salah satu jajahan kerajaan Gowa di Makasar. Tetapi entah kenapa Tuah langsung tidak dapat mengingati nama ataupun raut wajah ibu kandungnya serta adik-beradiknya yang lain. Seakan-akan ada dinding tebal yang menghalang ingatannya.

Apapun nama Daeng Passulu memang tidak mungkin dapat dilupakan. Nama itulah yang telah memisahkan Tuah dari keluarganya serta kampung halamannya. Tetapi pada masa yang sama nama itu jugalah yang telah menjadikan dia Laksamana Melaka.

Daeng Passulu ini tabiatnya memang suka menyakat anak-anak orang kampung, dan Tuah memang sentiasa menjadi sasaran. Suatu hari Daeng Passulu dan kawan-kawannya terserempak dengan Hang Tuah yang sedang leka mengail ikan di pinggir kampung; lalu mula membuat bising sambil melontarkan kata-kata kesat padanya. Mereka menghina keluarga Tuah yang miskin, mengejek rumahnya yang senget, atau badan Tuah yang hitam dan comot, laksana anak terbuang.

Tuah paling tak tahan apabila dipanggil bajengan, gelaran yang biasanya hanya diberi kepada anak luar nikah. Dia teringatkan azimat yang pernah diajarkan oleh ayahnya, lalu dipungutnya sebutir batu, dijampi dan dilontarkan ke arah Passulu sekuat hati. Kena kepala anak Bentara Gowa itu lalu merah padamlah wajahnya menahan marah. Passulu terus menerpa ke arah Tuah tanpa menyedari mata buluh runcing dalam genggaman Hang Tuah yang sedang terhala ke arahnya. Biasanya anak-anak kecil Gowa tidak dibenarkan memakai senjata tetapi dibekalkan dengan buluh runcing bagi membunuh binatang berbisa atau dijadikan tongkat untuk menyeberang bendang dan jeram. Tuah yang nekad untuk mempertahankan diri mengacah-acah buluh ke arah seterunya itu lalu tertusuklah ke perut Passulu, tembus hingga ke belakang. Passulu meraung. Kawan-kawannya lari bertempiaran setelah tergamam melihat darah yang membuak-buak keluar. Tuah yang cemas juga mengambil keputusan untuk lari pulang ke rumah.

Dia menyorok di bawah rumah, dan tak berapa lama kemudian sampailah bapa Passulu bersama kuncu-kuncunya memekik-mekik nama Tok Bajeng sambil menghayun badik ke arah langit. Tuah dapat melihat kelibat ayahnya Tok Bajeng yang menuruni tangga dalam keadaan terpinga-pinga. Dia tak dapat mendengar sangat butir-butir pertengkaran tetapi dia tahu orang tua Passulu yang lebih banyak bercakap daripada ayahnya.

Malam itu Tok Bajeng memanggil Hang Tuah.

“Pawah anak ayah. Aku tahu kau tak sengaja lukakan si Passulu tadi. Tapi kita ini Pawah, walaupun ayah tok batin tetap tak akan sama tarafnya dengan Datuk Bentara bapa si Passulu itu. Memang sudah menjadi adat, yang diatas menekan, yang dibawah menahan. Passulu cedera parah, jika dia pulih alhamdulillah; tetapi sekiranya dia mati, engkau tidak mungkin lagi selamat di rumah ini. Malam ini engkau mesti keluar…” Tok Bajeng yang sebak tidak dapat menyambung kata-katanya lalu menyuruh Tuah beredar.

Keesokan harinya gemparlah berita kematian Daeng Passulu anak Bentara Gowa. Daeng Merpawah anak Tok Bajeng yang dituduh membunuh kini menjadi buruan. Nasib baiklah pada malam sebelumnya, Tok Bajeng yang sudah dapat mencium bau kematian sempat menyeludup Hang Tuah keluar dari rumah, menyelinap dalam kegelapan hutan untuk menuju ke muara. Di sana seorang pemuda yang tidak dikenali Tuah sudah menunggu dari atas perahunya. Pakaiannya yang pelik menandakan dia bukanlah orang tempatan.

“Pawah, ayah kenalkan ini Hang Ali dari Melaka.”

“Dengar sini…sekarang engkau mesti ikut dan taat pada Hang Ali ke mana pun engkau pergi, jangan sesekali kau lupa asalmu dan taatilah pemimpin. Engkau anak yang pintar, ayah yakin kau akan jadi orang besar satu hari nanti.”

“Nah, ambil badik ini sebagai pelindung dan jagailah ia dengan cermat. Badik ini boleh menjadi bukti asal-usul engkau Pawah sekiranya engkau berjaya pulang semula ke kampung kita ini nanti.”

Puas rasanya Hang Tuah menangis sambil memegang kaki ayahnya kerana tidak mahu mengikut Hang Ali, tetapi tidak diendahkan oleh si ayah. Tok Bajeng kemudian dengan nekad merentap tangan Tuah dari kakinya lalu meninggalkan Hang Tuah yang masih meraung sekuat hati, yang akhirnya terpaksa didukung naik ke perahu oleh Hang Ali.

Itulah kali terakhir Hang Tuah melihat ayahnya, dan itulah juga kali terakhir dia melihat tanah kelahirannya.

“Abang…”

Hang Tuah tersentak.

“Abang hendak Sendari sediakan minuman atau sireh? Kalau tidak mahu Sendari masuk ke bilik dahulu ya bang.”

“Tak mengapalah, sireh tu esok-esok sahaja. Kau pergilah masuk tidur dahulu.”

Sendari senyum. Dicucuhnya sebuah pelita lain pada pelita di ruang tamu untuk dibawa masuk ke bilik, meninggalkan Hang Tuah bersendiran melayan kenangan lama.

Ingatan yang samar-samar tentang pelayaran agungnya dari Makasar ke Melaka empat puluh tahun lalu mulai datang mencurah-curah. Bertahun-tahun lamanya dia menyimpan dendam dan benci pada ayah dan ibunya, pada Passulu dan kaum kerabatnya, pada kampung Bajeng, pada Gowa dan Makasar kerana sanggup membuang anak Bugis ini jauh ke Melaka. Pada suatu ketika dia pernah bersumpah tidak mahu menjejakkan kali lagi ke tanah Makasar sehinggalah bercerai nyawanya dari badan.

Kini janji tersebut nampaknya mungkin terpaksa dibatalkan.