Tak pernah bertemu dengannya sepanjang hidup kita. Tetapi kita mengenalinya lebih daripada kita kenal jiran kita sendiri. Kita tahu asal-usul lelaki ini, di mana sekolah dan universiti beliau belajar, dan kita tahu latarbelakang kerjaya beliau. Kita kenal siapa Ben dan kita sudah boleh hafal susun atur di rumah beliau yang sering disepahkan si Ben yang nakal tetapi manja.

Hari ini lelaki ini berkemungkinan besar akan dipenjarakan selama 30 bulan; bersamaan 900 hari atau 22 ribu jam. Cuba bayangkan mengunci diri kita sendiri dalam tandas rumah selama satu jam. 60 minit sahaja. Cuba makan, buang dan baring di tempat yang sama.

Apa salah lelaki ini? Jikalau dia merogol, merompak, menyamun atau membunuh kita mungkin boleh kata “He deserved it!”  

Tetapi dia dipenjara kerana kita. Wang yang hilang bukan wang dia, tetapi wang kita. Penyelewangan bukannya kepada dia, tetapi kepada kita. Amanah yang telah dipecah itu bersangkut paut dengan kita, bukan dengan dia. Dia boleh memilih untuk jadi seperti sebahagian besar pemimpin lain yang hanya pandai menyanyi selagi dibayar dengan undi dan ufti.

Tak ramai yang mampu harungi perit-jerih sebagaimana yang sedang dilalui oleh anak Besut ini sekarang. To go to jail for the sake of others. To leave behind Ben, or his dearly beloved, their simple house, his parents or all the people he represents. Siapa yang sanggup?

Semangat juang insan seperti lelaki ini bukannya boleh ditukar-tukar, atau dicagar-cagar. Jenis ini sudah hampir pupus, sudah boleh di bilang dengan jari. Di Malaysia mungkin tinggal dua-tiga kerat sahaja.

Lelaki ini hampir pasti tidak akan dapat bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang, dan mungkin terpaksa merengkok sendirian, kerana orang hebat seperti ini bukan sahaja tidak disenangi lawan, tetapi sering juga dikhianati kawan. 

Siapalah saya untuk mengagungkan lelaki ini. Dia tak perlu diagungkan. Makamnya sudah jauh lebih tinggi meninggalkan kita yang hanya pandai berkokok, dan masih mahu terus berkokok walaupun tengkuk sendiri sedang ditakuk.

Namun apa pilihan kita? 

Buatlah sesuatu in the name of justice. Paling tidak berdoalah in the name of Allah. To INVOKE itu ertinya berdoa juga, untuk dapat membezakan, untuk berani mempertahankan, agar dapat menerangi alam dengan ilmu, iman dan ihsan.