Ketar juga lutut ini apabila berjalan menghampiri penduduk setinggan Cina yang sedang menggelegak marah. Saya teringat cerita lagenda arwah Tokki yang pernah berhadapan sekumpulan samseng di Terengganu lama dahulu. Apa yang Tokki buat? Dikatakan dia hanya turun daripada basikalnya setelah dihalang, lalu berjalan ke arah samseng dengan tangan kanannya seperti memegang hulu keris; yang sebenarnya adalah hulu pahat yang digunakan untuk bertukang. Yang lucunya, sebaik melintasi pemuda tersebut Tokki sempat juga memberi amaran, “Kalau demo berani demo cubolah.” 

Saya tidaklah seberani Tokki. Ayat pendinding satu pun tak hafal, ilmu kebal hmm kena cubit isteri pun merengek. Nak baca surah-surah pendinding saya tak yakin, manakala ilmu silat pula sudah lama tunggang-terbalik.

Cuma satu-satunya ilmu yang saya ada ketika itu ialah ilmu kencing, jadi saya gunakanlah.

Sebelum sampai, saya pura-pura bercakap dengan seseorang melalui telefon, saya tak pandang wajah mereka, saya bercakap dan terus bercakap dengan suara yang kuat, dan saya akhiri perbualan dengan, “Baik Tuan!” Setelah berpuas hati dengan respon yang saya ingini, saya buat muka yang paling garang lalu bertanya kepada semua yang sedang menunggu, “Siapa ketua di sini?”

Alhamdulillah dipendekkan cerita, dapatlah berjumpa, berbincang dan meneruskan kerja mengorek keesokannya. Hari ini, selepas 20 tahun, kawasan setinggan tersebut sudah jauh berbeza, padat dengan kondominium-kondominium mewah yang menjulang tinggi. Rupanya ada juga jasa saya di sana sedikit sebanyak.

Saya nak tamatkan mini-trilogi ini dengan satu lagi cerita; di tapak projek juga, di Selat Melaka, lebih spesifik di pantai Lukut, Negeri Sembilan yang pada hari ini merupakan antara resort atas air yang cukup terkenal.

Sebelum memulakan kerja mengorek, saya terus jumpa ketua kampung nelayan meminta izin dan beri beliau jaminan projek hanya akan bermula 2-3 tahun lagi, dan itu pun sangat bergantung kepada kesesuaian tanah. Tok Ketua marah-marah tetapi akhirnya mengalah dan memberi syarat, “Ekau bagilah duit kopi sikit kek nelayan den tu, barulah dio suko.” Saya pun berikan beberapa ratus ringgit duit hangus yang telah dibekalkan oleh syarikat, dan tinggalkan team saya di pantai Lukut sebelum pulang ke rumah di Nilai. Team saya semuanya memang dah biasa tidur dalam khemah sahaja.  

Nak dijadikan cerita, lewat malam itu ketika sedang lena tidur, telefon bimbit saya berbunyi.

“Bos, pontoon kita dah hilang!”

“Hah?”

“Dah hilang bos. Dihanyutkan ombak rasanya. Bos kena datang cepat, nak lapor polis. Kalau tak nanti teruk kita kena ganti.”

Tanpa berlengah lagi dalam sepuluh minit saya sudah dalam kereta menuju ke Lukut. Ketika itu yang paling merisaukan ialah prospek kehilangan “boring machine” syarikat bernilai ratusan ribu ringgit, tenggelam ke dasar laut.

Sebaik sampai, saya tengok pontoon yang membawa “boring machine” kami memang sudah tiada, cuma tinggal talinya sahaja yang masih terikat pada sebatang pokok. Menjelang subuh saya terus ke rumah Tok Penghulu mengadukan hal. Dia senyum sahaja. “Den buleh yo tulong, tapi konolah bayar.”

Dia meminta lima ribu ringgit. Saya terus menelefon Louis anak saudara bos, dengan harapan dialah yang akan melaporkan kepada Mr. Tay. Cumanya si Loius ni pun penakut juga, dan mungkin sedar risiko yang terpaksa ditanggungnya. Jadi dia cadangkan saya sendiri yang telefon Mr. Tay.

Mr. Tay mengamuk sakan, tak mahu bayar, mengancam untuk melapor kepada polis dan memaksa saya cari pontoon yang hilang itu sampai dapat.  Terpaksalah saya dan team sewa bot nelayan dan cari sendiri pontoon yang hilang.  

Nasib baik jumpa.

Tetapi tragedi pontoon hilang memberi kesan lain yang lebih besar. Seminggu selepas itu saya buat keputusan berhenti kerja serta-merta. Saya tulis nota sedikit kepada Mr. Tay, saya pulangkan kunci kereta Proton Saga dan telefon Motorala milik syarikat kepada kerani, saya ambil teksi dari pejabat di Melawati ke stesen Komuter menuju ke Nilai, sebelum menelefon isteri untuk datang menjemput. Isteri saya puas bertanya, tapi saya diamkan sahaja. 

Dua hari selepas meletak jawatan, barulah saya panik kerana tidak bekerja. Syarikat langsung tak telefon untuk sekurang-kurangnya bertanya atau memujuk, dan paling merisaukan we got so broke, dua minggu selepas itu, dan ini memang saya akan ingat sampai bila-bila, dalam wallet saya hanya ada sekeping nota satu ringgit, manakala dalam poket seluar saya sekeping duit syiling sepuluh sen.  

Pendek kata, enam bulan bersama syarikat soil investigation itu adalah tempoh bekerja yang paling singkat sepanjang kerjaya saya, dan paling memalukan sehingga saya tak masukkan langsung dalam resume sehinggalah ke hari ini. Tetapi pada masa yang sama ia juga menjadi watershed moment kepada saya. Tekanan hidup pada usia muda, baru berumahtangga dan dengan anak kecil benar-benar mencabar, dan membuatkan kita berfikir banyak perkara.

Pertama, saya melihat nasib anak bangsa yang kononnya megah menjadi Tuan, walaupun cuma pada nama sahaja. Sepanjang 6 bulan berurusan dengan syarikat pemaju, arkitek, soil testing lab dan pengeluar bahan-binaan, saya langsung tidak bertemu dengan usahawan Bumiputera. Orang Melayu yang saya temui hanyalah pemandu, dan kerani, sedangkan orang yang bekerja di tapak adalah pendatang asing. Orang Melayu pernah memiliki tanah yang banyak, tetapi sebaik sahaja pemaju masuk dengan “boring machine” mereka, tanah tersebut lambat-laun pasti akan tergadai.

Kedua, saya tak boleh bekerja dari jam 8 pagi sehingga 6 petang, lima hari seminggu, menunggu gaji yang tidak seberapa, berpuas hati dengan Proton Saga, sambil mengharap nasib saya dan keluarga akan berubah.  Saya mula berangan-angan untuk berniaga, untuk jadi bos sendiri dan bukannya bekerja dengan orang lain lagi.

Masya Allah, yang amazingnya tanpa kita sedari angan-angan, niat atau iktikad itu rupanya didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar.  Sebaik sahaja memasang niat maka terbukalah jalan-jalan baru yang meminta untuk diteroka dan dibangunkan.

Walaupun ilmu berniaga saya ketika itu sekosong perigi buta, ia sedang menunggu untuk diisi. Saya tidaklah terus berniaga, tetapi pekerjaan saya yang seterusnya merupakan ‘wahyu’ yang ditunggu-tunggu selama ini.

Tamat.

NEXT: The Greatest Salesman in Malaysia.