…lanjutan kepada Dari Dungun ke Jaya Gading – Hijrah Tokki (Bahagian 1)

Apabila EMMCO mengambil alih operasi lombong daripada Nippon Mining Corporation (NMC) pada tahun 1945, mereka menjadinya perusahaan yang lebih efisien dengan menggunakan jentera pengorek, mesin penghancur batu, keretapi lokomotif dan lori pengangkut bijih secara besar-besaran. Mereka juga mengimpot pekerja dari segenap ceruk rantau, sehingga Bukit Besi dan kawasan sekitarnya menjadi bandar paling sibuk di Asia Tenggara. Dungun pada waktu itu seumpana sebuah kota metropolitan yang terlebih dahulu memiliki segalanya yang trendy serta hipster.

Nama bandar Sura Gate pula adalah bersempena ‘Pagar’ yang merintangi jalan utama bandar, yang akan ditutup setiap kali keretapi lalu merentasi jalan berkenaan untuk membawa surat serta muatan ke Sura Jetty yang terletak di Pantai Sura di sebuah tempat yang dinamakan O-File atau Opal.

opalsejarah
Tiang-tiang Opal atau O-file dahulu dan kesan tinggalannya kini di Pantai Sura

Hari ini satu-satunya mercutanda di Sura Gate yang saya tahu ialah UITM Cawangan Dungun, namun pada era kegemilangannya Sura Gate merupakan ‘the Citadel of Dungun’ yang sibuk sokmo dengan kegiatan manusia. Saya kurang pasti daripada mana asalnya perkataan Sura. Ada yang mendakwa ianya dinamakan begitu oleh para peneroka Dungun yang datang dari Surabaya. Gabungan dua bahasa seperti Sura Gate sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik kerana kita memang gemar gabungkan perkataan seperti Klang Gate, Batu Cave, Batu Road, pintu-gate, cuba-try dan banyak lagi.

Selama lebih empat dekad lombong bijih di Bukit Besi tidak pernah berhenti mengeluarkan hasil, dan berjaya menjana lebih satu-pertiga pendapatan kepada daerah Dungun dan Negeri Terengganu.

Abdul Rahman@Chik@Tokki saya adalah salah seorang daripada ribuan tenaga buruh EMMCO yang bekerja tiga shif, 24-jam sehari. Kilang tidak pernah ditutup, dan pekerja tidak diberikan cuti tahunan kecuali pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Pada mulanya mereka tidak merungut kerana gaji yang diberikan cukup lumayan iaitu diantara RM3.75 hingga RM6.50 sehari. Dengan gaji besar serta perbagai kemudahan yang dinikmati para pekerja EMMCO, mereka menjadi rebutan anak-anak gadis Terengganu.  

Kehidupan metropolitan Dungun, kesibukan bekerja, serta nikmat kemewahan secara tak langsung telah menyumbang kepada gejala sosial anak-anak muda disana. Surau dan masjid sunyi sepi, sawah bendang dan kebun tidak berjaga dan pergaulan bebas semakin menjadi-jadi. Pekerja EMMCO juga dikatakan boros berbelanja, banyak menghabiskan gaji dengan berpesta, minum arak dan bermain judi. Antara kegemaran pekerja EMMCO ketika itu ialah bermain judi di atas keretapi dalam perjalanan mereka dari Sura Gate menuju ke lombong.

IMG_18946760528493

Kebejatan akhlak muda-mudi ini juga menjadi modal politik yang menyaksikan ketegangan hubungan yang berterusan di antara pemimpin serta penyokong parti politik UMNO dan PAS sehinggalah ke hari ini.

Namun langit tidak selalunya cerah. Pada bulan November 1970, EMMCO mengambil keputusan memberhentikan terus operasinya berikutan kemerosotan kuantiti serta kualiti bijih di Bukit Besi, penemuan lokasi bijih yang lebih besar di Australia, tekanan kesatuan sekerja serta kegagalan EMMCO mendapatkan penurunan cukai daripada kerajaan Terengganu yang didakwa bernilai RM40 juta setahun.

Saya sebenarnya lebih menyebelahi cerita Tokki saya yang mengatakan EMMCO ditutup kerana kelemahan pengurusan. Walaupun gaji pekerja EMMCO lumayan, mereka tidak mendapat hak perlindungan pekerja yang sepatutnya. Kes kemalangan di tempat kerja, isu pemotongan gaji yang sewenang-wenang serta banyak manfaat lain telah dinafikan, sehinggalah tertubuhnya kesatuan sekerja EMMCO yang turut dipelopori Tokki. Sebagai orang penting dalam kesatuan (union), Tokki dan rakan-rakannya lantang membela hak pekerja yang sering terabai. Bahkan Tokki dan pimpinan kanan kesatuan pernah turun ke Kuala Lumpur untuk bertemu mendiang Tun Sambanthan yang ketika itu memegang jawatan Menter Kerja Raya bagi mendesak Tun campurtangan.

WhatsApp Image 2017-02-09 at 11.37.11 AM
Tokki (berdiri di hadapan kanan) bersama rakan kesatuan sekerja EMMCO di Kuala Lumpur selepas bertemu Menteri Kerja Raya.

Tokki walaubagaimanapun akhirnya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja, mungkin kerana tekanan pengurusan yang keterlaluan. Selepas meletak jawatan, kemahirannya bertukang dijadikan mata pencarian utama. Oleh kerana ekonomi daerah Dungun yang merudum selepas kemerosotan hasil lombong EMMCO, Tokki seringkali terpaksa mencari kerja kayu jauh sehingga ke Kuantan dan Tanjung Lumpur.

Screen Shot 2017-01-29 at 12.53.23 AM
Tokki berbasikal-tua sahaja dari kampung asal beliau di Dungun menuju ke Kuantan.

Antara kisah Tokki yang begitu mengkagumkan saya ialah kecekalan semangat beliau; yang selalunya berbasikal sahaja dari Dungun ke Kuantan (yang jauhnya melebihi 150km!) Tidak cukup dengan berbasikal, Tokki juga lebih gemar tidur di masjid dan surau sahaja setiap kali bekerja di Kuantan daripada menumpang rumah kawan atau saudara.

Oleh kerana kerap berulang-alik ke Kuantan, Tokki semakin ramai kenalan warga Pahang atau pendatang dari Terengganu yang sudah lama menetap di Pahang. Beliau akhirnya mendapat peluang untuk membeli sebidang tanah seluas dua ekar yang baru di buka di Batu 9, Jalan Kuantan-Gambang bernilai RM500. Kawasan yang kemudiannya dikenali sebagai Kampung Jaya Gading ini telah dibuka dengan rasminya pada 21 Disember 1964.(sejarah Kampung Jaya Gading akan saya ulas lagi dalam bahagian ke-3).

Tanah rendah yang asalnya hutan belantara di hujung kampung itu sedikit demi sedikit diratakan Tokki dengan kudratnya sendiri, sambil dibantu oleh anak terunanya. Setelah lapang sedikit, digalinya sebuah perigi dan dibina pula sebuah pondok kecil tempat berteduh. Entah apalah firasatnya, Tokki seperti sudah nekad untuk berhijrah dan tanah hutan itulah yang akan menjadi kediaman beliau sekeluarga. Sebahagian tanahnya di Dungun dijual, dan Tokki mula merancang untuk berpindah.
1-e1518372266167.jpg

Tokki memang sangat cermat dan bijak mengatur gerak. Dipendekkan cerita pada awal pagi yang telah ditetapkan pada tahun 1968, maka berhijrahlah Tokki sekeluarga dari Sura Gate menuju ke Kampung Jaya Gading. Sebahagian daripada ahli keluarga enam beranak itu menaiki kereta sewa dan selebihnya menaiki bas termasuklah ibu saya, puteri sulung Tokki yang pada waktu itu baru berusia 16 tahun. Adik-adik mak yang menaiki bas mengangkut barangan keperluan seperti periuk belanga dan pakaian; ada yang meletakkan barangan tersebut di atas bumbung bas, dan ada juga yang membawa ayam ternakan. Saya dapat tahu dari ibu ada seekor ayam induk kesayangan arwah nenek yang cacat teruk pungungnya akibat dibaham musang turut dibawa bersama ke Jaya Gading; dan ayam inilah yang telah berkembang-biak menghasilkan baka ayam kampung Jaya Gading pula.15219528_1453589868003113_4026682180334679101_n

Panjang lagi kisahnya tetapi saya berhenti disini dahulu kerana ada tauladan yang mahu dikongsikan. Selama tanahair ini dijajah selama itu jugalah hasilnya akan dirompak, dan warganya diperhambakan. Di Bukit Besi sahaja selama berpuluh tahun entah berapa banyak bijih yang telah dilombong tetapi hampir kesemuanya diangkut ke negara Jepun, ditempa untuk menjadi peluru dan bom atau kapal perang yang kemudian digunakan untuk meluaskan jajahan, dan membunuh tok nenek kita sendiri. Kesan penjajahan mengambil masa ratusan tahun untuk dipulihkan, mengorbankan begitu banyak jiwa dan memaksa manusia berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain. Keluarga saya sebelah ibu yang berasal dari Patani terpaksa berhijrah ke Terengganu apabila Siam menyerang pada kurun ke 19, dan kemudian terpaksa pula berhijrah lagi hingga ke Pahang demi meneruskan kehidupan. 

 

15241800_1453589644669802_3158683120819208727_nNamun ada juga hikmahnya juga dalam kepayahan kita itu. Tanah baru yang diduduki Tokki sekeluarga rupanya sangat subur, campaklah benih apa pun akan tetap menjadi pokok yang rendang dengan buah yang banyak. Hijrah juga telah memberi nafas baru kepada generasi selepas Tokki sehinggalah ke hari ini.  Tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib kami sekiranya Tokki terus sahaja menetap di Sura Gate.

Next: Episod terakhir…hidup & mati di Jaya Gading.