Abah nak sembelih ayam sekejap lagi. Karim tolong abah ya?

Karim mengangguk. Untuk seorang budak yang baru masuk darjah dua apalah yang dia tahu tentang menyembelih ayam, namun perintah abahnya siapa berani membantah. Karim turun bersama abah dari tingkat tiga flat tentera menuju ke reban ayam yang telah dibina dan diurus secara kongsi bersama beberapa jiran yang lain.

Karim sangkakan kerjanya mudah, paling sukar pun mungkin menangkap ayam yang kadang-kadang terlepas dari reban.

Karim nak ayam yang mana?

Karim angkat bahu kerana kesemua tujuh ekor ayam di dalam reban itu sama sahaja baginya. Abah kemudian membuka pintu reban cukup-cukup untuk memuatkan tangannya ke dalam, dan mulai meraba-raba mencari si ayam ‘bertuah’. Memang perangai abah dari dulu lagi suka berkebun, kata orang putih abah ni “the man with green thumb or green fingers“.

Seekor ayam jantan berjaya ditangkap. Abah memegang kedua kaki ayam tersebut dengan hanya sebelah tangan dan menterbalikkannya sebelum memberi kepada Karim.

Karim mari sini. Tengok abah buat ni. Kau mesti pegang kedua kepak dan kaki ayam ni begini sekaligus. Boleh?

Karim angguk juga walaupun seumur hidupnya dia tidak pernah melihat ayam hidup dari dekat, apatah lagi memegangnya. Apabila ayam sudah berapa di depan mata barulah nampak dengan jelas mata ayam yang hitam pekat dan bilah-bilah sayap yang besar dan licin. Barulah terdengar bunyi deram dan kokok yang perlahan dan nyaring bersilih-ganti, barulah dapat mencium hamis dan masam si ayam yang mungkin sudah terberak sedikit kerana takut.

Abah yang bangga dan puas dengan hasil tunjuk ajarnya mulai mengasah pisau di belakang reban. Dia membiarkan Karim tercegat di pintu reban dengan tangan menggengam kaki ayam bersalut tahi kering sambil diperhatikan oleh enam ayam yang lain yang terpaku tidak berbunyi langsung. Mereka tentunya bersyukur kerana tidak terpilih kali ini.

Pada hari malang itu sebenarnya barulah terbongkar rahsia Karim yang telah disimpan sekian lama; bahawa deria bau, dengar dan sentuhnya jauh lebih tajam daripada deria matanya. Barulah Karim dapat menghubungkan antara kokokan panik ayam, bau tajam tahinya, serta matanya yang terkebil-kebil memohon belas itu dengan pisau lipat yang sedang diasah oleh abah.

Karim mulai panik. Peluhnya yang memancar-mancar keluar di tengah terik matahari menambah siksa; manakala tangan yang memegang ayam sudah mulai lenguh dan sedikit melonngar daripada sebelumnya. Semangatnya mulai meluntur terutama selepas membayangkan nasib si ayam selepas ini.

Abah membetulkan arah tubuh Karim supaya mengadap ke Mekah. Pisau yang terasah tajam sudah disisipkan di pinggang sambil tangan kanannya memegang kepala ayam dan tangan kirinya mencabut-cabut bulu-bulu pada bawah leher ayam guna mencari urat besar yang bertanggungjawab menyalurkan darah dari jantung ke seluruh tubuh si ayam.

Karim sedia? Walau apa sekalipun kau jangan sesekali lepaskan kaki ayam, sampai abah sendiri kata lepaskan. Faham?

Karim mengangguk buat kali terakhir.  Matanya yang rabun itu kini mulai merah dan berair menambahkan lagi rabunnya, dan belas-kasihannya  pada si ayam jantan.

Bismillahir-Rahmanirr-Rahimm. Allahu Akbar!

Mata pisau baru hendak mengelar tengkuk sang ayam apabila kepaknya menggelepar keras, barangkali terkejut dengan ‘bisa’ besi yang menusuk. Karim tersentak apabila darah hangat yang terpancut dari batang tengkuk ayam terpercik sedikit pada tangan Karim yang memegang kaki ayam. Oleh kerana deria sentuhnya jauh lebih tajam daripada deria mata Karim, pegangannya terlerai.

Ayam yang sudah terluka, menjerit-jerit seperti ‘ayam kena belacan’, dan terkial-kial melompat dan berlari menuju entah ke mana.

Karim sudah tidak nampak lagi itu semua. Dia hanya terpaku dan cuba memandang wajah abahnya sepintas-lalu.

Singa hendak mengamuk, bisik hati Karim. Sepantas kilat dia berlari naik ke rumah mencari ibu. Dari jauh juga dia masih dapat mendengar suara abah sayup-sayup sedang menjerit nama Karim berselang-seli dengan maki-hamun. Kali ini abah bukan mengejar ayam lagi tetapi sedang memburu putera sulungnya.

Karim yang tidak dapat mencari ibu terus masuk ke bilik dan menyorok di dalam almari. Selang beberapa minit kemudian dengarlah pekikan abah dan bebelan ibu yang marahkan abah kerana terlalu ‘keras’ dengan anak sulungnya. Abah kalau sudah naik darah tidak ada apa yang boleh mententeramkannya kecuali dua perkara iaitu ibu atau rotan. Cuma hari itu kuasa ibu tidak cukup untuk menampan amarah abah.

Pintu almari terbuka. Abah terus menerkam tetapi Karim sempat bolos dan berlari ke ruang tamu, bersembunyi lagi di belakang kerusi rotan. Abah menyerang lagi dan kali ini Karim terperangkap. Abah menarik Karim keluar dari belakang kerusi dan menolaknya sehingga terduduk diatas sofa. Dengan sekuat hati dia mencubit kedua peha karim sambil mulutnya terus mengherdik Karim dengan kata-kata kasar yang Karim pun sudah tidak ingat lagi.

Ajaibnya Karim langsung tidak menangis; bahkan kesan cubitan yang serta-merta membiru itu pun bukanlah sakit sangat. Kata orang tua-tua, apabila ayah memukul anak dia sebenarnya lebih sakit berbanding anak; mungkin untuk melindungi anak dari tercedera. Karim tidak pasti bagaimana nasib si ayam yang sudah terlepas lari. Dia cuma tahu mereka tidak makan ayam hari itu.

Kejadian itu juga menyedarkan Karim bahawa ada yang tidak kena pada matanya. Pandangannya kabur.  Dua tahun sesudah itu Karim mulai memakai kacamata.

Samada rabun itu berpunca daripada sumpah si ayam, tidak ada siapa yang tahu.