Dahulunya saya mudah terpengaruh dengan promosi filem yang hanya “indah khabar dari rupa”. Tapi sekarang tidaklah lagi sangat, mungkin kerana usia yang semakin cerewet memilih, dan mungkin juga kerana harga tiket panggung yang semakin tinggi mencanak. Kita semakin waspada untuk menilai filem mana yang berbaloi dibayar atau dimuat-turun sahaja secara percuma, dan tidak mahu membazirkan wang menonton filem tidak bermutu. Selain film ratings portal seperti Rottentomatoes yang boleh dirujuk sebelum membeli tiket berharga RM16 sekeping itu, kita juga boleh menilai strategi pemasaran sesebuah filem. Filem barat yang premier di negara Asia dahulu sebelum Amerika kebiasaannya teruk, dan penerbit buat begitu untuk mengelak impak review yang negatif kepada jualan tiket filem mereka.

Saya juga agak berhati-hati untuk menonton filem-filem sekuel, filem dibarisi pelakon utama yang sudah tua, filem animasi, filem cinta, filem musikal dan filem adaptasi novel atau komik di pawagam, kerana filem sebegini lebih berminat untuk menunggang populariti, atau menjual cerita yang ada nilai box-office sahaja, dan sering mengabaikan kualiti. Saya hanya akan membeli tiket setelah berpuas-hati dengan ulasan yang diberikan.

Sedih juga kerana filem-filem genre kegemaran saya sudah semakin jarang dikeluarkan lantaran kutipan tiket yang tidak dapat menampung kos penerbitan yang tinggi. Antaranya filem-filem cowboy seperti Tombstone, True Grit, Unforgiven, The Good The Bad & The Ugly; filem-filem indie yang lebih murah tetapi hebat jalan ceritanya, atau filem-filem perang seperti Saving Private Ryan, Letters from Iwo Jima, Enemy at the Gates, the Thin Red Lines dan Schindler’s List yang sarat dengan sejarah.

Filem-filem sci-fi seperti Bicentennial Man, AI, Robot, The Matrix, The Abyss, dan Terminator juga sudah kurang di pasaran, mungkin kerana sukarnya menggambarkan masa depan yang sudah tidak jauh bezanya dengan masa kini. Filem Blade Runner 2049 contohnya walaupun jauh lebih canggih belum dapat menandingi kehebatan Blade Runner versi 80-an. Filem-filem adiwira keluaran Marvel juga tidak dinafikan hebat dan berjaya menghidupkan watak-watak adiwira yang sebelum ini hanya boleh dibayangkan sahaja.

Barangkali kerana jalan cerita filem superheroes yang cliche (kecuali Deadpool) saya sudah tidak begitu teruja menonton genre sebegini. Jadi apabila Marvel Studios mula mencanang superhero terbaru mereka iaitu Black Panther (BP), saya tidaklah teruja sangat untuk menonton; cuma akhirnya saya termakan juga dengan pujukan anak-anak.

Secara ringkasnya, BP memang ada kelainan dan keunikan tersendiri. Paling nyata latarbelakang filem yang menunjukkan kehebatan tamadun masyarakat kulit hitam di benua Afrika, di sebuah negeri bernama Wakanda. Malangnya nilai mulia yang cuba ditunjukkan oleh T’Challa sebagai raja Wakanda yang baru ditabalkan tenggelam oleh paparan nilai-nilai Barat yang masih diagungkan (hedonisme dan materialisme), dan masih terikut-ikut dengan legasi kapitalisme.

Kejayaan dinilai dengan kemajuan material, kekayaan dan status. Legasi keturunan, kepercayaan kepada ‘superior race’, dan memperkecil tamadun lain menjadi intipati utama BP. Begitu juga dengan sifat tamak, pengkhianatan, double standard dalam melaksanakan hukum, konflik darjat, perebutan kuasa dan harta terus menjadi punca konflik kepimpinan Wakanda, terselindung di sebalik ‘facade’ kemajuan teknologi. Dari aspek teknologi pun sebenarnya tiada apa yang patut dibanggakan kerana tanpa sumber tenaga persis-nuklear ‘vibranium’ yang banyak, atau hasil tanaman bunga ‘kemboja’ yang tinggi khasiatnya; Wakanda hanya sebuah negara dunia kelas ke-tiga di benua yang selamanya tidak pernah sunyi dari krisis dan peperangan.

Entah kenapa filem ini banyak mengingatkan saya kepada video-video muzik mendiang Michael Jackson yang sentiasa cuba memaparkan kehebatan warga kulit hitam seperti klip video lagu Black or White, Remember the Times, Thriller, Smooth Criminal dan Liberian Girl. Apapun pujian harus diberikan kepada Marvel Studio kerana berani menghasilkan filem adiwira kulit hitam di tengah-tengah keghairahan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Presiden Donald Trump yang suka benar memperkecilkan peranan warga minoriti Amerika. Melihat kepada review cemerlang BP di laman Rottentomatoes (97% ketika artikel ini ditulis), dan dengan kutipan box-office mencecah RM1 billion ringgit, Black Panther mampu mencetus semula gerakan Black Power yang pernah merombak keadilan sosial negara Uncle Sam itu lebih 50 tahun dahulu.

Nota kaki:

 

Black Panther ditayangkan di panggung-panggung terpilih di Malaysia serentak dengan wajib tayang filem adiwira Melayu iaitu Badang-The Movie, dan sebuah lagi filem indie Melayu bertajuk Bidong-The Boat People.  Need I say more?