sambungan kepada #1 Rabun Ayam

Kita diberitahu mata bayi yang baru lahir belum dapat berfungsi sepenuhnya dan cuma mampu memandang dengan jelas sejauh 8-10 inci sahaja. Pada jarak sebegitu dekat, seharusnya objek yang paling dikenali ialah wajah ibu. Begitulah hebatnya masterplan Tuhan yang Maha Terperinci sifatNya.

Muhamad bin Husin atau Mat sudah tentu tidak akan dapat mengingati saat kelahirannya. Namun ada dua peristiwa terawal yang akan terpateri dalam kotak memori Mat buat selama-lamanya.

Memori Pertama: Kubur

Mat belum mencecah usia empat tahun pun lagi tetapi kemuraman suasana senja di tanah perkuburan yang begitu vivid bakal mencetus memori yang abadi. Mat ingat dia sedang dipimpin oleh seseorang, sambil berjalan di atas tanah merah yang masih basah dan melekit. Mungkin kerana saiz badannya yang kecil, Mat tidak dapat mengecam wajah-wajah manusia kerana lebih banyak menatap kaki-kaki yang perbagai rupa, disalut capal, selipar dan kasut perbagai warna, yang kebanyakannya turut terpalit dengan selut merah.

Apabila tiba ke destinasinya, ingatan Mat kabur tentang deretan batu-batu nisan, tetapi imej sebuah lubang besar yang baru digali dengan tanah galian yang membukit di sekeliling lubang tersebut sangat jelas sekali. Mat hampir pasti bahawa objek berbungkus kain putih yang diletakkan dihadapannya adalah jenazah seseorang yang baru meninggal dunia dan akan dimasukkan ke dalam lubang yang baru digali.

Setiap kali dia cuba untuk memainkan semula memori terawal dalam hidupnya, yang akan sentiasa diingati ialah kisah perjalanan Mat ke tanah perkuburan di atas tanah merah yang berselut. Rupa-rupanya memori tersebut berkisar tentang kematian nenek Mat, iaitu ibu kepada abah Mat yang telah meninggal dunia di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketika Mat berumur tiga atau empat tahun.

Adakah memori kematian yang tidak dapat dipadam itu satu kebetulan, atau satu lagi titipan Yang Maha Esa buat sekelian hambaNya agar banyakkan mengingati mati?

Memori Kedua: Darah

Malam itu, sebagaimana kebiasaan malam-malam sebelumnya sekumpulan anak-anak dalam linkungan usia pra-sekolah sedang riuh gamat bermain di kawasan lapang flat perumahan tentera di Pulau Labuan. Mereka yang baru pulang daripada belajar mengaji di rumah seorang guru muqaddam selalunya akan berlumba lari pulang ke rumah masing-masing. Ada masanya mereka akan bermain-main dahulu di halaman rumah flat; masing-masing leka dan tidak ingat untuk balik ke rumah sehinggalah ibu salah seorang daripada mereka terpekik terlolong dari atas rumah flat memanggil pulang.

Malam itu, seperti telah ditakdirkan seorang kanak-kanak perempuan yang suka bermain kejar-kejar dengan kumpulan laki-laki tiba-tiba terjerit. Rupa-rupanya dia telah terjatuh ke dalam longkang kecil di hadapan unit rumah bawah dan mengalami luka yang agak besar. Mat yang suka juga berkawan dengan budak perempuan bernama Azura itu berhenti bermain dan terus meluru ke arah Azura yang sudah terlantar di tepi longkang. Azura sedang menangis kesakitan sambil memegang kaki kirinya yang berdarah.

Itulah kali pertama Mat melihat darah membuak-buak keluar dari tubuh seseorang. Mat terpaku melihat keadaan Azura dan mulai panik, dan pening-pening lalat melihat darah yang banyak. Mat kuatkan semangat, dan cuba menghampiri kawannya itu sebelum bapa Azura menolak Mat dan kawan-kawannya ke tepi untuk mendapatkan Azura dan mendukung puteri kesayangan mereka itu naik ke atas. 

Empat puluh tahun selepas itu, walaupun selalu bermain kejar-kejar dengan mereka hampir setiap malam Mat sudah tidak dapat mengingati nama-nama mahupun rupa teman-teman mengajinya. Tetapi dia tak boleh lupakan nama Azura. Masih jelas gambaran luka pada kaki Azura, atau darah pekat Azura yang menitik ke dalam longkang, perlahan-lahan bercampur dengan air kotor sebelum membentuk jaluran merah yang panjang sebelum dibawa arus hilang entah ke mana.

Sama seperti kubur, darah juga telah diprogram untuk terus berada di dalam memori manusia seperti Mat; seolah-olah mahu mengingatkan kita bahawa jika kubur itu simbolik kematian, darah pula adalah simbol kehidupan yang mesti disyukuri dan dimuliakan. Begitu berharganya darah sehingga tidak boleh dibiar menitis ke bumi tanpa alasan yang kuat.

Penglihatan Mat ketika masih bayi walaupun sempurna telah dihadkan untuk melihat ibunya sahaja. Ketika membesar, pandangannya dipertajamkan untuk melihat kematian dan kehidupan. Tetapi setelah bergelar akil baligh entah mengapa penglihatannya terhad sedikit. Cahaya yang membawa imej menembusi kornea dan iris rupanya tidak sampai ke permukaan retina kerana bebola mata Mat terbujur sedikit daripada biasa. Retina matanya tidak dapat merakam imej jauh dengan jelas menyebabkan memori Mat ketika membesar sedikit terganggu.

Kalaulah mata Mat tidak rosak, kalaulah bebola matanya bulat dan tidak bujur, kantanya kenyal dan tidak keras sudah tentulah lebih banyak wajah-wajah yang akan dapat diingatinya, bukan setakat Kubur dan Darah sahaja!