“Long, arwah atuk kau dulu sosialis kau tahu tak?”

Biar betul mak aku ni. Atuk dulu punyalah zuhud mana mungkin jadi sosialis? Dan satu lagi yang aku musykil, bila masa pula mak belajar tentang sosialisme?

“Atok kau tu dulu aktif dengan union. Zaman 50-60an majikan tak ambil pusing pun kebajikan pekerja ni. Cuti pun sehari setahun Jep, bukan macam sekarang sampai 4-5 hari sebulan.”

Aku diamkan saja. Tak mungkinlah atuk seorang sosialis. Sahabat komunis tu!

Keesokannya seperti biasa rakan mengumpat aku time makan tengahari ialah si Khairudin. Din lebih muda dari aku tetapi pengetahuan amnya jauh lagi hebat.

“Pening aku dengan mak aku malam tadi Din.”

“Apsal?”

“Ada ke patut dia kata arwah atuk aku dulu sosialis?”

Din terhenti mengunyah. Tiba-tiba dia ketawa lalu tersedak, sampai terpelanting sebutir nasi dari mulutnya hinggap ke pipi aku. Memang gross Din ni tapi aku dah tak kisah.

“Hahaha, betullah tu kot sebab kau pun sosialis jugak. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi Jep!” Din menyindir.

“Eh, bila masa pulak aku jadi sosialis? Aku tak pernah minat dengan parti-parti politik ni semua. Menghabiskan duit aja!”

“Haaa…sosialislah namanya tu bro. Jep, ideologi sosialisme tak semestinya pasal politik. Aku bukan baru kenal kau semalam Jep. Yang kau update berjela-jela di Facebook tu, atau tulisan kau di majalah dan newspaper. Dengan macam-macam demonstrasi, flashmob, forlot serta perbagai perhimpunan bantah itu-ini yang kau dah join tu nak panggil apa kalau bukan sosialis?”

Aku gelengkan kepala dan menyedut teh-o limau dengan ais yang sudah mencair. Malas aku nak layan Din bila dia rasa dah seronok berceloteh, dia jenis tak tahu berhenti.

“Jep, Islam kita ni pun banyak juga elemen-elemen sosialismenya. Bahkan aku berani kata Islamlah agama yang paling pro-sosialis sekali berbanding ajaran lain.”

“Astaghfirullah Din! Kau jangan main ikut sedap mulut jer melabel agama kita ni sosialis. Mana mungkin Islam itu mengikut ideologi dunia. Lagipun aku tengok puak sosialis ni dah selesa ‘tidur sebantal’ dengan pengikut komunis dan liberal.”

Khairuddin terdiam, seolah-olah terkesal sedikit dengan susunan ayat terakhirnya.

“Sorry Jep, mungkin kau salah faham dengan statement aku tadi. Bagi aku cuci tangan sekejap, nanti aku explain semula.” Din bingkas bangun menuju ke sinki, singgah di kaunter bayaran untuk mengambil tisu dan pencungkil gigi sebelum kembali ke meja.

“Begini Jep, perjuangan sosialis menuntut kesaksamaan hak itu tak jauh bezanya dengan Islam. Aku pernah baca terjemahan buku Bilal karya HAL Craig tentang kebijaksanaan nabi Muhammad SAW memimpin masyarakat Arab di Madinah berpaksikan keadilan sosial. Dia tidak dapat lakukan ini di Mekah sebelum itu kerana tiada kuasa politik.” 

“Kau patut bangga Jep kerana atuk kau dahulu seorang sosialis dan kau pun mengikut jejak langkah ia.”

Din semakin seronok berkhutbah. Tidak cukup dengan kuliah nasi sepinggan,  Tabiatnya selepas makan mesti memesan kopi-o panas dan menghisap rokok Nusantara sebatang-dua sebelum kembali ke pejabat.

“Aku ada banyak contoh Jep. Antaranya kau bayar cukai dan zakat setiap tahun, kau menderma di masjid, kau beri elaun bulanan pada mak dah abah, kau berhenti bila nampak accident, kau buang halangan di tengah jalanraya, kau ziarahi orang sakit semuanya adalah tindak tanduk seorang sosialis muslim.”

Din menyedut panjang rokoknya kali ini sebelum menyambung hujah.

“Bahkan ibadah haji yang menjadi rukun Islam itu pun sesetengah pendapat anggap sebagai perhimpunan tahunan sosialis terbesar di dunia. Pakaian sama, matlamat sama, ritualnya sama dan Tuhannya sama. Kalau kau tanya aku, empat daripada lima rukun Islam, kecuali syahadah adalah tanggungjawab sosial yang menuntut hubungan dengan manusia juga…solat berjemaah, berpuasa, menunaikan dan membayar zakat.”

“Hmm, kau tu Din cakap macamlah kau faham sangat sosialis tu apa, tapi aku tengok rokok kapitalis juga yang kau hisap.” Hati aku yang panas cuba mencari jenaka di sebalik ceramah politik Din yang berkobar-kobar tadi.

Din tersenyum puas sambil memberi isyarat ‘kira bos!’ kepada pekerja lelaki yang sedang mengelap meja sebelah.

Tiba-tiba aku teringatkan arwah atuk.

bersambung