10.50 malam. Sebaik sahaja tingkap di tingkat 17 itu terkuak, angin menderu masuk menyebabkan bidai tingkap yang sudah digulung separuh itu bergegar menyebabkan dia gelabah seketika sebelum menarik bidai seluruhnya ke atas.

Bising bidai berjaya diredakan, tetapi bising yang lain pula muncul dari Dataran Merdeka, 700 meter sahaja dari tempat dia berdiri sekarang.

Jelas kedengaran jeritan juruacara yang cuba mententeramkan ribuan penonton yang sudah tak sabar untuk membilang 10 detik terakhir sebelum menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad itu ber-dingdong dua belas kali. Dia mencebik sendirian, hampir-hampir sahaja meludah ke luar tingkap lantaran geram dengan tingkah-laku monyet bertopeng manusia di padang yang menganggap sambutan kemerdekaan itu satu pesta, tanpa menyedari bumi yang dipijak ini telah bermandi darah selama 600 tahun, iaitu semenjak Lopes de Sequiera mendarat di Melaka pada tahun 1509.

dataran merdekaRuang pejabat Bank Pertanian kini sunyi sepi, dan Aras 17 yang menempatkan biro undang-undang itu gelap gelita. Tiada punca cahaya melainkan beberapa kerdipan dari jendela yang baru dibukanya, serta pantulan warna hijau dari tanda “KELUAR” di atas dua pintu utama pejabat menuju ke lif, tangga dan tandas. Memang dia hafal setiap inci bangunan itu kerana dia pernah menghuninya selama lebih 15 tahun.

11.10 malam.

Masa untuk bekerja. Baki rokok dibibirnya yang sudah sampai ke puntung dilepaskan ke lantai sebelum dipijak-pijak bagi mematikan bara. Jangan risau, pengesan asap yang dipasang di siling pejabat telah pun dimatikan. 

Dua buah beg diletakkan diatas meja. Dia membuka zip salah satu beg galas, mengeluarkan segulung kain lebar dan terus menghamparkannya ke atas lantai di tempat dia berdiri. Kemudian dia mengangkat sebuah meja banquet yang memang sudah ada di pejabat lalu meletakkannya di tepi tingkap yag sudah terkuak tadi. Dia membuka pula beg kedua yang lebih besar dan panjang lalu mengeluarkan sepucuk senapang separa otomatik dan meletakkannya dengan cermat di atas meja banquet.

Bipod dikeluarkan, dipasang dengan pantas lalu ditegakkan diatas meja, sambil melaraskan kangkang dan tinggi bipod secukupnya. Dia mengambil mesingan jenis Steyr tadi, memeriksanya sekali lalu lalu meletakkannya ke atas bipod. Dia tidak bimbang kerana setiap kelengkapan yang dibawa memang telah diperiksa dan diuji berkali-kali di rumah. Dia kemudiannya mengeluarkan beberapa lagi peralatan yang bakal digunakan tepat jam 12 nanti. Sepucuk pistol, raifel, sepasang sarung tangan kulit, dan dua gulung tali-pinggang panjang yang masing-masing bersusun dengan peluru. Akhir sekali dia menskrukan teropong di atas senapang separa otomatiknya dan mula menyambung bump-gun untuk menukarkan Steyr-nya menjadi mesingan otomatik sebelum menyambungkan hujung tali-pinggang peluru ke bahagian magazine mesingan yang telah diubahsuai.

Semua siap.  11.35 malam.

Beg diletakkan di atas lantai ditepi tingkap dan dibiarkan ternganga agar senang untuk menyimpan semula peralatannya nanti. Dia melihat melalui teropong, melaraskan fokus dan menghalakan muncung mesingannya ke arah orang ramai yang sedang terkinja-kinja di Padang Merdeka. Dia tidak perlu fokus kepada mana-mana individu.

Jantungnya berdegup seperti biasa, langsung tidak ada tanda-tanda gugup, atau khuatir sekiranya berdepan kemungkinan ditangkap dan ditembak mati. Dia tidak takut mati bahkan sudah tidak sabar untuk menyiapkan tugasannya malam itu. Persediaan rapi selama lebih lapan bulan kini sudah tiba ke penghujungnya. Apa jua kemungkinannya dia tahu dialah pemenangnya. Dia tahu mulai malam ini berbilion umat manusia dari seluruh dunia akan bercerita tentang “Perayaan Merdeka di Malaysia Bertukar Tragedi” selama berminggu-minggu, sebagaimana mereka pernah bercerita tentang kehilangan misteri dua buah pesawat Malaysia beberapa tahun lalu.

Dia sudah mengira segala-galanya dengan tepat. Sebentar lagi 2000 butir peluru akan dihamburkan ke arah pengunjung Dataran Merdeka. Dengan keupayaan mesingan memuntahkan 400 peluru setiap 60 saat, dia cuma perlukan 5 minit untuk menyempurnakan misinya.

Dia memilih Aras 17 sebagai pusat operasi bukan kerana ada unsur mistik tetapi kerana aras itulah yang paling paling strategik, lebih tinggi berbanding bangunan-bangunan lain disekitarnya; tetapi tidaklah terlalu rendah sehingga menghalang tembakan dan tidak pula terlalu tinggi sehingga mendedahkan posisi atau mengurangkan ketepatan tembakannya. Oleh kerana angin yang lebih deras pada ketinggian sebegitu, dan setelah mengambil kira aspek lokasi sasaran yang agak jauh, dia memilih senapang jenis Steyr buatan negara Austria model AUG A1 dengan kelajuan muzzle yang tinggi agar tidak dilencongkan angin. Lebih penting lagi dengan kelajuan peluru mencecah sau kilometer sesaat itu, dia mahu pastikan peluru akan sampai dahulu ke sasaran sebelum bunyi. Bunyi tembakan yang lebih kuat lantaran kelajuan tinggi ini juga akan dipendamkan oleh silencer yang telah dipasang awal-awal, yang muncungnya dibalut dengan kain bagi mengurangkan kesan cahaya tembakan.

Dia yakin kedudukannya di tepi tingkap aras 17 itu selamat, pertama kerana walaupun tembakan kuat akan berterusan selama lebih 5 minit, punca bunyi tidak akan dapat dikesan kerana dipantulkan oleh bangunan-bangunan tinggi yang mengelilingi Bank Pertanian itu. Orang Malaysia yang belum biasa dengan bunyi mesingan akan terpinga-pinga lama sebelum mula histeria mencari perlindungan. Tidak ada sesiapa yang akan berani memandang ke atas, apatah lagi setelah melihat darah, cebisan daging dan otak yang mula bertaburan di atas padang dan pentas utama.

11.57 malam. Sebatang lagi rokok dinyalakan, dan dia mula memakai sarung tangan kulitnya.

Pelan keluar dimainkan semula dalam otaknya buat kali terakhir. Tembak berterusan, berhenti untuk tukar tali peluru kedua, tembak lagi sehingga peluru habis, dan tutup tingkap. Sekiranya pintu pejabat tidak diserbu masuk, raifel simpanan tidak perlu digunakan untuk menembak musuh, dan pistol juga tidak perlu digunakan untuk menembak kepalanya sendiri.

Dia kemudiannya akan menanggalkan mesingan yang masih panas (dia pakai sarung tangan kerana itu), balutnya dengan kain dan memasukkan ke dalam beg bersama bipod dan semua kelengkapan lain. Dia akan menggulung hamparan kain yang penuh dengan kelongsong peluru dan memasukkan kedalam beg kedua.

Oh ya, pakaiannya malam itu compang-camping sahaja seperti gelandangan yang memenuhi lorong-lorong gelap di segenap penjuru ibukota. Setelah memastikan meja dan segalanya disusun seperti sediakala, dia akan keluar dan menuruni tangga kecemasan sehingga ke aras bawah dan berjalan keluar mengikut pintu belakang di mana lori-lori kebiasannya keluar masuk untuk memunggah barang. Dia akan berjalan dengan gaya seorang gelandangan menelurusi Sungai Kelang sebelum mencampakkan beg yang berat dengan senjata dan kelongsong peluru itu ke sungai. Pada kiraannya, jika berjaya ditemui pun selepas beberapa hari, karat dan lumpur yang melekat pada bag dan senjata sudah tentu akan memadamkan apa jua kesan pengenalan yang mungkin tertinggal. Mungkin.

Dia akan berjalan ke Masjid Jamek, tidur sebentar di pangkin luar masjid sebagaimana gelandangan yang lain sehingga masuk waktu subuh sebelum masuk untuk mandi dan menukar kepada pakaian pejabat yang telah disorokkan didalam salah satu tandas masjid. Dia akan solat subuh berjemaah sebelum berjalan pula menuju ke stesen LRT Masjid Jamek, yang akan membawanya ke stesen KL Sentral untuk menaiki keretapi laju ERL ke KLIA. Destinasinya biarlah rahsia.

12.59 malam.

Dia meneropong ke arah pengunjung Padang Merdeka yang semakin tidak keruan. Dengan bunyi serta persembahan bunga api yang akan mengikuti laungan Merdeka mereka, dia yakin yang dia akan dapat bolos dengan mudah. Timbul pula rasa bangga dalam hatinya kerana hasil perancangan yang teliti sekian lama kini kelihatan sempurna sekali. Malam ini dia ibarat malaikat maut yang akan terbang bersama ribuan peluru yang secara rambang akan mencabut ratusan jiwa, mencederakan yang lain atau setidak-tidaknya menyebabkan trauma sepanjang hayat mereka. 

“Padanlah dengan muka kamu semua. Hari ini akan kukirim kamu ke neraka.”

Rokok masih terlekat pada bibirnya sebelum dia menyedutnya buat kali terakhir dan melepaskan puntungnya ke lantai. Tiupan angin yang awalnya kuat kini sudah hilang seolah-olah sedang meredhakan jihadnya.

Dia mengintai lagi menerusi teropong, melaraskan sedikit sasarannya ke kanan dan menarik nafas panjang. Dipejamkan mata dan dia mulai ikut membilang sepuluh detik terakhir bersama-sama ribuan lagi manusia dari Dataran Merdeka yang tidak tahu apa-apa.

 

“Sembilan, lapan, tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua, satuuu…”

“Merdeka!”