Sudah 13 kali rakyat negara ini keluar mengundi dan memilih logo yang paling dipercayai untuk membentuk kerajaan baru. Sudah 13 kali mereka (termasuk saya) memilih logo yang sama kerana kita sudah selesa dengan logo tersebut, mungkin juga kerana kita sudah serik dijajah, dan mungkin juga kerana logo-logo yang lain tidak begitu mengujakan.  Jika ada pun cubaan untuk memangkah logo alternatif, ia terlalu mudah dipatahkan.

Pada hakikatnya, sudah 13 kali parti-parti politik yang bakal bertanding mempertaruhkan logo mereka, sambil mengumumkan manifesto atau deklarasi janji masing-masing yang akan ditunaikan sekiranya mereka terpilih menjadi wakil kerajaan yang diperkenan oleh Raja-Raja Melayu.

Sudah 13 kali jugalah logo-logo lain tewas kepada logo yang satu ini, yang menyaksikan manifesto mereka reput dimakan anai-anai. Sudah 13 kali juga logo parti politik yang satu ini menang menjadi kerajaan.  Manifesto mereka tidak reput dimakan anai-anai, sebaliknya boleh digunakan lagi agar mereka terpilih semula dalam edisi pilihanraya akan datang.

Justeru, jika dicongak di atas kertas pilihanraya edisi ke-14 nanti seharusnya tidak ada beza berbanding 13 pilihanraya sebelumnya. Dengan logo yang sama, dengan template manifesto sama yang hanya mengolah semula 13 jilid manifesto lama sepatutnya sudah cukup untuk menjamin kemenangan, dan membentuk kerajaan baru yang sebenarnya masih kerajaan lama.

Atau mungkin ada kelainan kali ini?  Apa mungkin kita sudah idamkan citarasa yang berbeza? Mungkin kita sudah bosan dengan manifesto lama yang selamanya menjanjikan kemiskinan dan kadar buta huruf sifar?  Atau sudah muak mendengar B40, M40 dan T20 walhal realitinya ada dua kumpulan sahaja iaitu B99 dan T01? Atau sudah lali dengan janji-janji menghapuskan cukai, menurunkan tol, menaikkan gaji, mengangkat wanita sambil menjunjung hak Bumiputera?

PRU14 sepatutnya lebih dari sekadar mengeluarkan manifesto. Kerajaan apa pun yang dibentuk tidak akan lari dari perkara dasar iaitu mensejahterakan rakyat; kerana apabila adik-kakak sejahtera, lumrahnya kita akan mengundi mereka semula.

Apakah ada faktor lain yang lebih asasi sekiranya kita benar-benar mahu melihat logo lain menjadi kerajaan?  Pada saya, faktor terbesar yang sangat didambakan oleh setiap rakyat Malaysia tidak kira apa pun anutan politik mereka ialah untuk melihat perubahan.

Kita sebenarnya sudah teramat bosan dengan status quo. Kali inilah kita tak berminat lagi untuk membaca atau menganalisa manifesto sesiapapun. Menjelang PRU edisi ke-14 ini, kita tak mahu minta apa-apa lagi.  Kita hanya mahu perubahan.  Daripada buruk kepada yang lebih baik.

Itu fitrah.