Sebagai meraikan PRU14, saya fikir inilah filem yang wajib ditonton sebelum kita membuang undi pada 9hb Mei nanti. Filem garapan pengarah lejen Steven Spielberg berkisar tentang krisis kewartawanan Amerika sekitar tahun 60-70an yang terpaksa memilih untuk melaporkan berita yang sebenar, atau sebaliknya. Dengan gandingan pelakon Hollywood heavyweights seperti Tom Hanks, Meryl Streep dan Joaquim Phoenix filem ini selayaknya menang Filem Terbaik Oscar tahun lalu.

Saya tak mahu mengulas filem sangat kerana kitakan tengah election season. Seringkali dalam politik yang menjadi subjek utama ialah calon dan pengundi. The Post mengambil sisi pandang baru dengan meletakkan media khususnya akhbar sebagai subjek utama, yang mahu menunjukkan bahawa sebenarnya media Amerikalah yang telah berjaya menjatuhkan Presiden Nixon berikutan penglibatan beliau dalam dua skandal besar iaitu Pentagon Papers dan Watergate.

Walaupun media perdana USA seperti New York Times dan Washington Post biasanya dilabel sebagai pro-kerajaan Amerika dan pro-lobi Yahudi, The Post cuba menunjukkan sebaliknya. Filem ini mahu mencanang kebebasan serta integriti pengamal media sebagai rahsia kejayaan dan sumber kekuatan mereka.

Dalam konteks kita di Malaysia, terdapat dua pola utama media iaitu media sosial dan media arus perdana.  Media arus perdana hampir kesemuanya dikawal oleh kerajaan, manakala media sosial pula dirasakan lebih bebas, justeru lebih popular daripada lawannya dikalangan pengundi.

Pada kebiasaannya, sumber berita media arus perdana tidak perlu dipertikaikan kerana setiap berita yang diterima perlu melalui tapisan editorial yang ketat kerana risiko tindakan undang-undang yang bakal diterima oleh syarikat-syarikat media ini besar. Berbeza dengan media sosial yang walaupun sumbernya lebih perbagai, jauh lebih mudah dan lebih murah untuk dikongsi atau diviralkan, sumber beritanya lebih sukar untuk ditentusahkan sumber. Akibatnya banyak sumber berita dari media sosial dilabel sebagai berita palsu, bahkan di negara kita pun sudah ada undang-undang khusus yang baru sahaja diwartakan bagi mengekang penyebaran berita palsu, khususnya dialam-maya.

Pengamal media tidak kiralah arus perdana (yang masing-masing sudah ada portal maya sendiri), mahupun media sosial (sesetangahnya memiliki sindikasi media cetak dan media TV yang jauh lebih besar) sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar yang boleh mempengaruhi halatuju politik sesebuah negara. Pengamal media yang benar-benar bebas dari rantai dan kekangan mana-mana pihak sahaja yang mampu menjadi mata dan suara rakyat, dan inilah sumber maklumat yang sangat didahagakan oleh rakyat Malaysia setelah sekian lama.

Dalam kemelut politik, ekonomi dan sosial domestik yang tidak menentu, bahkan sangat ‘volatile’ sehingga boleh mencetuskan ketegangan pada bila-bila masa, media yang bertanggungjawab mampu memadamkan sengketa dan bukannya menyemarakkan lagi api kebencian diantara pemerintah dan warganegara.

PRU14 merupakan watershed moment kepada masadepan politik Malaysia yang akan menjawab samada kita sudah benar-benar matang politik dan mampu ke tahap yang seterusnya; atau kita sebenarnya sedang mundur ke belakang menjadi sebuah negara binasa.

Mungkin inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh para pengamal media tempatan untuk bersolidariti dan membebaskan syarikat mereka daripada belenggu budi, yang lambat laun pasti akan menghukum kita semua tergelintir dan tidak akan mampu bangkit lagi.

 

636522352720441224-AP-710621076
Katherine Graham dan Benjamin Bradlee, tuan punya dan editor The Washington Post watak utama yang dilakonkan oleh Meryl Streep dan Tom Hanks

Dalam filem The Post, akhbar-akhbar utama Amerika yang tertekan oleh pengaruh politik mengambil keputusan untuk mencabar kekebalan Nixon yang menggunakan kuasa mahkamah agung Amerika untuk menutup mulut media.

 

Media Amerika menang tentunya, dan selebihnya sudah pun menjadi rekod sejarah dunia.

Saya tertarik untuk memetik kata-kata hakim Mahkamah Agung Amerika iaitu Hugo Black yang menyokong ‘kebebasan media’, yang akhirnya mencetuskan protes massa, mendorong undi tidak percaya kepada Nixon sehingga memaksa beliau meletak jawatan:

“In the First Amendment, the Founding Fathers gave the free press the protection it must have to fulfill its essential role in our democracy. The press was to serve the governed, not the governors.”