Kerana sudah lama tidak bertemu dan kebetulan pula tarikh PRU14 baru sahaja diumumkan, maka topik perbualan dengan rakan lama saya kali ini banyak menyentuh isu politik. Walaupun pendirian politik kami berbeza namun satu perkara yang kami masih sepakati ialah carta ekonomi orang Melayu yang masih tercorot dan terus terumbang-ambing. Saya tak boleh lupa reaksi wajah beliau setelah saya lontarkan beberapa statistik yang menakutkan, “Takkan begitu teruk sekali keadaan kita sekarang bro?” tanya beliau. 

Data orang Melayu sebenarnya tidak pernah pun dikumpul dengan tersusun dan terperinci. Dan entah mengapa ia sentiasa terangkum bersama kumpulan Bumiputera yang lain, seolah-olah halatuju orang Melayu yang melebihi 50% penduduk bumi Malaysia ini tidak penting, atau mungkin data Melayu ini jika ada akan merosakkan graf ekonomi Bumiputera yang kononnya konsisten itu. Wallahua’lam.

Kita memang sudah terlalu lama dibungkus selimut tebal yang jika dahulunya disarung dengan selesa, hari ini cukup merimaskan dan menghambat pergerakan. Dahulu kita bangga dengan kehebatan bangsa, tetapi hari ini kita meminta dan menagih keistimewaan Melayu yang tidak seberapa. Laksana bangsa Yahudi keparat kita anggap hak-hak istimewa ini kurniaan Tuhan yang kekal abadi meskipun kita amat jarang mensyukuri.

Oleh kerana sudah terlalu lama lena inilah menjadikan Melayu bangsa yang entah apa-apa. Totok, mabuk, goblok dan sekali lagi, entah apa-apa. Hari ini memang bilangan kita ramai tetapi kualitinya teruk sekali. Label malas, suka berlengah, suka ambil jalan mudah, suka mengharap orang-lain, suka mencuri dan pecah amanah itu sangat sinonim dengan Melayu. Ya, Islam masih agama turun-temurun kita tetapi nilai syahadah itu sudah lupus atau menipis, tidak mampu lagi memagar diri dari segala nafsu-nafsi. Dan diatas kekurangan itu jugalah agaknya kita masih berselimut tebal, sedangkan hak Melayu itu sudah lama dijual-beli.

Pada tahun 1957 kita melaungkan “Merdeka!” tujuh kali dengan garang bagi menghalau saka penjajah dari bumi pertiwi; tetapi hari ini pekikan tersebut longlai dan sumbang, pertamanya kerana bimbang diapa-apakan atau ‘dijajah’ kembali. Justeru kita rela diamkan ketidakadilan, biarlah dapat beras sebutir asalkan jangan undi Mahathir.

Oleh kerana kita sudah menjadi bangsa bacul, maka tidak hairanlah anak-anak pun malu menyebut “Kami Melayu!”. Tanyalah anak-anak milenial tentang bangsa mereka, dan inilah jawapan mereka:

“Kami peduli apa tentang Melayu!”

“Gelaran itu tidak pernah memberi keuntungan kepada kami!”

“Tak jadi Melayu pun tidak mengapa, bukan hebat mana pun!” 

Penyakit bangsa ini jika tidak dirawat dan dipupuk semula maka akan pupuslah satu bangsa. Kepada siapa lagi mahu diharap untuk membela negeri? Beranikah para pemuda yang bencikan bangsa sendiri menahan serangan demi serangan yang sedang cuba merobek maruah bangsa, bahasa dan agama?

Hari ini menjadi seorang Melayu bukanlah istimewa sangat. Apatah lagi bila Melayu itu dipadukan dengan gelaran Bumiputera yang langsung tidak ada nilainya. Rumpun Bumiputera yang diciptakan Almarhum Tun Abdul Razak dahulu sudah tidak dapat lagi menjamin peluang pekerjaan yang saksama, menyediakan pendidikan lebih berkualiti, menawarkan biasiswa, memudahkan pembelian rumah atau memohon pinjaman wang kepada anak muda bijak.

Siapa pernah menyangka status Bumiputera seseorang itu boleh menjadi beban, cemuhan dan lawak jenaka?

Kita gelar diri kita merdeka, tetapi dari dahulu lagi kita enggan melepaskan tangan dari genggaman tuan-tuan yang pernah memiliki kita. Daripada genggaman ketua-ketua komuniti (adat, kampung dan raja-raja) kepada cengkaman kolonialis Portugis, Belanda, British dan Jepun, semuanya sama sahaja. Selepas dimerdekakan oleh British kusangka kami sudah bebas, rupa-rupanya kita masih terus terbelenggu pada tuan-tuan Melayu borjuis yang kononnya masih setia pada perjanjian bilateral Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. 

Walaupun sekali-sekala muncul juga si penentang arus, tetapi minda khalayak ramai yang terbelenggu tetap menjadi wabak yang belum berjaya diubati. Dengan ancaman yang perbagai dan bertali arus itu hanya masa sahajalah yang dapat menentukan samada bangsaku akan terus berdiri megah atau lenyap ditelan bumi.

Apakah masih ada ruang untuk benar-benar merdeka?

Jawapannya bergantung pada tindakan. Adakah kita sudah cukup berani untuk keluar dari selimut tebal? Berani bangkit dari tidur yang lama? Berani melepaskan diri daripada genggaman tuan-tuan Melayu yang terus-menerus mahu memperhamba anak bangsa sendiri?

Saya mengakhiri pertemuan bersama rakan lama tadi dengan memberikan beliau sedikit harapan. Saya katakan kepadanya, “Yang tergadai tak mungkin dapat ditebus kembali, tetapi khazanah yang tinggal itu perlu dipertahankan selagi hayat dikandung badan.”