Mesir bukan negara sembarang.  Seawal abad ke 10 sebelum Masehi lagi, ia telah menjadi antara 10 kerajaan terkaya dunia…dan empayarnya berkuasa selama hampir 3 ribu tahun. Mesir zaman pasca Firaun juga apa kurangnya…daripada kegemilangan kerajaan islam fatimiyah yang mengasaskan universiti al-azhar sehinggalah kepada kerajaan moden pan-islaminya yang menjadi antara pengasas penubuhan PBB, OIC, Liga Arab dan banyak lagi.

Tapi Mesir hari ini (pasca Morsi) walaupun pada tahun 2016 diangkat menjadi negara kedua paling berkuasa di benua afrika selepas Nigeria dan Afrika Selatan, sebenarnya ada pekung yang cuba disembunyikan. Dengan penduduk berjumlah 95 juta (antara yang terpadat di Afrika), jurang kaya-miskin mereka amat lebar (walaupun Mesir kaya dengan sumber asli dan khazanah pelancungan). 40% penduduknya (hampir 36 juta) hidup dengan pendapatan kurang RM8 sehari, dan dari spektrum yang lain 2-3% (2-3 juta) lagi pula sudah bergelar billionaire. Satu lagi fakta yang saya baru tahu ialah kebergantungan Mesir kepada dana Amerika berjumlah USD2.2 billion yang telah diterima tanpa henti setiap tahun semenjak dari zaman Anwar Sadat lagi.

WhatsApp Image 2018-04-21 at 10.23.36 PMOleh itu, apabila anak sulung saya yang menuntut di sana kongsikan gambar-gambar ziarah beliau dan rakan-rakannya menyantuni anak-anak terbiar dipinggir kota Cairo, saya agak tersentuh kerana saya pernah melihat senario yang sama di Kuala Lumpur. Menurut anak saya, bilangan anak Mesir yang terbiar sebenarnya terlalu ramai dan mereka dilepaskan begitu sahaja tanpa mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan. Ramai yang sudah berminggu tidak mandi langsung, makan sisa-sisa sahaja, tidur berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit (rumah mereka hanya petak-petak seperti kandang lembu). Setelah dimandikan dan dirapikan serta diberi pakaian baru dan makanan yang lebih berkhasiat, barulah terpancar wajah anak-anak yang cerita, comel dan pintar.

Golongan terbiar sering menjadi kumpulan halimunan, tidak bernegara dan dinafikan apa jua hak sebagai warganegara. Hidup atau mati, bersekolah atau tidak bukan lagi beban kepada kerajaan, sebaliknya dipindahkan kepada badan bukan kerajaan, badan amal dan agensi-agensi antarabangsa yang handa dapat membantu jika ada sumber, dan setiap kumpulan pula ad agenda masing-masing, daripada mendapat tenaga buruh murah, merekrut teroris, kepada kegiatan missionari yg mahu menukar akidah anak muda.

Saya tahu kita di Malaysia sepatutnya rasa bersyukur kerana kita tidak nampak kejadian seperti ini di negara kita. Namun begitu cuba kita tanya diri kita sendiri betulkah tidak ada, atau kita tidak nampak? atau kita sengaja buat-buat tak nampak?

Walaupun bilangan penduduk miskin tegar di Malaysia telah jauh berkurang, jurang antara yang golongan kaya dengan yang miskin dikatakan telah bertambah pada kadar yang membimbangkan.  Dengan jumlah pendapatan statik sedangkan kos sara hidup pula meningkat mendadak, dikhuatiri semakin ramai kumpulan berpendapatan menengah akan terjerumus ke dalam kumpulan 40% rakyat termiskin (B40). Dengan bantuan BR1M sebanyak RM1200 sahaja setahun, ia sudah tentulah bukan penyelesaian yang bijak atau tuntas, sebaliknya hanya menangguhkan tragedi yang lebih besar lagi atau lebih buruk menjadi alat meraih sokongan politik murahan.

FB_IMG_1519961989448.jpgApa yang berlaku di Mesir tidak mustahil akan terjadi di Malaysia tidak kiralah samada kita sedar atau tidak. Kajian oleh pakar ekonomi dari Malaysia dengan kerjasama UNICEF baru-baru ini berhubung kemiskinan di PPR hanyalah ‘tip of the iceberg’ kepada malapetaka yang lebih besar yang bakal menanti sekiranya formula yang benar-benar drastik dapat direncanakan untuk memacu ekonomi Malaysia agar seimbang dan dapat dinikmati semua. Tanya sahajalah kumpulan petani, pesawah, nelayan, peneroka dan penoreh getah, bagaimana kehidupan mereka sekarang? Adakah lebih baik atau lebih buruk? Tanya juga jutaan warga kota yang tinggal di kawasan setinggan, rumah-rumah PPRT atau mereka yang menyara hidup dengan gaji minima RM1100 sebulan, adakah mencukupi atau bagaimana?

Justeru PRU14 yang bakal berlangsung pada 9hb Mei nanti sepatutnya menjadi satu-satunya peluang keemasan buat 14.6 juta pengundi berdaftar di negara ini untuk menggunakan kuasa sebenar mereka.  Samada untuk meneruskan legasi memusnahkan atau membuka lembaran baru yang lebih bersih dan segar.  Tepuk dada tanyalah selera.

Selamat mengundi!