Siapa mengaku dia Melayu, maka pilihanraya adalah masa yang cukup serabut. Tak sesusah jadi pengundi Cina atau india kerana tiket utama untuk memenangi hati dan undi kaum tersebut hanyalah prestasi. Isu perkauman jika ada pun tidaklah begitu membimbangkan kerana bilangan mereka yang tidak sebesar pengundi Melayu.

Tetapi menjadi seorang pengundi Melayu tidak begitu. Soal prestasi perkara ke tujuh atau ke lapan. Soal hak bangsa, hak agama, raja, kemudian sejarah, populariti, persepsi, ekonomi adalah lebih utama. Jika tiada isu lain barulah prestasi menjadi ukuran. Isu integriti tak masuk book langsung. Rasuah, pecah amanah dan curi boleh dihalalkan menjadi politik wang, derma dan bantuan.

Dalam 13 edisi pilihanraya sebelum ini, orang Melayu tidak perlu berfikir panjang. Asalkan tidak sentuh isu bangsa dan agama maka undi mereka pasti akan berpihak kepada BN. PAS selalu menjadi pilihan kedua, safe deposit just in case mereka berhadapan calon bukan Islam. Undi BN mesti didahulukan (walaupun ada parti komponen BN bukan Islam yang dalam diam jauh lebih anti Melayu-Islam daripada DAP), kemudian barulah undi PAS (justifikasinya apabila ditanya nanti bolehlah jawab, “saya undi PAS juga”).

Menjelang PRU14 minggu depan saya kira ramai Melayu yang hampir gila kerana sudah buntu untuk memilih. Formula memangkah undi cara lama sudah tidak boleh dipakai. Semuanya sudah jadi hancai-bancai dan tunggang terbalik.

Apa yang ditawarkan BN selama ini sudah ada pada Pakatan Harapan bahkan lebih baik lagi. Cuma mungkin masih ramai Melayu yang masih berpegang kepada fantasi bahawa hanya pakatan BN-PAS yang dapat menjamin hak dan akidah orang Melayu terus dibela. Saya katakan fantasi kerana memang itulah harapan kita semua suatu ketika dahulu, yakni untuk melihat kedua parti keramat melayu-islam ini kembali bertaut dibawah panji-panji islam sebelum kita hembus nafas terakhir.

Memang benar pakatan itu berjaya dizahirkan melalui kerjasama Najib-Hadi, tetapi ia tidak memberikan nikmat sebagaimana yang kita harapkan.  Ada yang tak kena tapi kita tak berani nak pinpoint…bimbang kalau2 akidah kita terbatal tanpa disedari.

Walaupun sebenarnya dalam hati ramai Melayu yg sudah berbulu melihat kehilangan wang yang begitu banyak, melihat rasuah tahap dewa-dewa dikalangan pemimpin tertinggi, dan skandal di sana-sini…kita cuba juga tolak ‘kebatilan’ ini jauh-jauh ke bawah dalam senarai keutamaan mengundi kita. Yang lebih utama hak dan akidah seorang Melayu-Islam mesti dijaga.

Politik wang, derma dan bantuan tidak menyalahi undang-undang. Yang salah ialah memperjudikan nasib orang Melayu di tangan pemimpin lalang dan munafik seperti Mahathir, Anwar, Muhyiddin, Anak Mahathir, Anak Anwar, Anak Fadzil, Anak Nik Aziz, Anak Yusof Rawa, Rafidah, Rais, Daim dan ramai lagi. Mereka semua ini jauh lebih pengkhianat berbanding Presiden Jho Low dan barisan menterinya.

Melayu yang rata-rata berpendidikan tinggi sudah tentu dapat membezakan hak dan batil, tetapi mereka lebih rela berdiam diri sekarang. Mereka sebenarnya tidak suka Najib dan konco-konconya, tetapi laksana puak2 ‘rednecks’ di Amerika, kumpulan neo-nazi di german atau puak2 ultra zionis di Israel, mereka tutup mata…cuba justify tindakan mereka, cuba pujuk hati mengatakan orang Melayu-Islam sudah terlalu banyak berkorban dan beri muka kepada bangsa dan agama lain. Mereka rasa mereka jauh lebih tertindas berbanding bangsa lain.  Soal hak bangsa dan agama mesti dipertahankan walaupun terpaksa berkeras dan menipu.

Maka diredhakanlah penyalahgunaan jentera2 pilihanraya, agensi kehakiman, media, penguatkuasaan dan institusi parlimen dengan sewenangnya, demi menjaga hak dan akidah orang melayu islam. Kalau dipersoalkan, tudingkan sahaja jari kepada Mahathir, punca kepada segala malapetaka di Malaysia.

Menjelang PRU14, saya tahu ramai dikalangan saudara Melayu saya yang masih diatas pagar…tidak tahu, dan tidak mahu ambil tahu. Ramai orang melayu walaupun hatinya semakin bengkak dan meluat melihat penyangak yang masih bebas, terpaksa membayar gst setiap hari, melihat pengangguran berleluasa, berdepan kebanjiran 7 juta warga asing, menanggung kenaikan harga barang yang melampau…yang kesemunya adalah realiti, tetapi masih boleh redha dan yakin kepada ‘fantasi’ kejayaan ciptaan kerajaan BN; seolah-olah duit beratus billion yang hilang, dan hutang satu trillion yang ditanggung itu tidak akan memberi kesan kepada mereka. Tak apalah, inilah pengorbanan sebagai warganegara. Yang penting hak dan akidah orang melayu-islam akan terus dipertahankan oleh BN dan sekutunya.

Jika begitulah falsafahnya, maka saya rasa sudah hilanglah kelayakan kita sebagai khalifah di dunia ini…lebih baik jadi unta, kaldai dan babi sahaja. Setidak-tidaknya tidak akan dipertanggungjawabkan di padang mahsyar nanti.

Atau disana masih boleh ‘bincang-bincang’ dengan Tuhan?

Selamat mengundi.