Tidak banyak yang diketahui tentang beliau, khususnya sebelum dia mengambil alih tugas suami yang sedang dihukum penjara. Sesiapa yang pernah menyaksikan beliau berucap secara langsung pasti akan dapat membuat kesimpulan mudah. Pertama, beliau bukanlah seorang ahli politik kerana dia tidak berucap dengan gaya seorang politikus, masih kelihatan ‘stage-fright’nya, masih gugup, dan ucapan beliau sering tersangkut-sangkut. Kedua, secara terus terang, beliau juga tidak kelihatan seperti seorang doktor perubatan, tetapi lebih mirip seorang bekas hakim, pesara kerajaan atau seorang surirumah sepenuh masa. Dia lebih cocok sebagai isteri kepada seorang ahli politik yang bukan dari kalangan elit. Dengan kipas lipat yang sering dibawa bersamanya, beliau pada saya biasa-biasa sahaja.

Namun wanita ini sering mengingatkan saya pada zaman Kesultanan Patani lama yang pernah memerintah daripada tahun 1516 hingga 1688. Daripada sepuluh orang raja Patani yang pernah bertakhta, empat raja terakhir adalah wanita.

Raja Patani ke-5 bernama Raja Bahadur atau lebih dikenali sebagai Sultan Mansur Syah tidak mempunyai anak lelaki. Maka apabila baginda ditikam mati oleh adik tirinya yang iri hati, takhta kerajaan Patani buat pertama kalinya diisi oleh puterinya bernama Raja Hijau, yang seterusnya diambil-alih oleh adik nya Raja Biru, kemudian adiknya Raja Ungu dan akhir sekali oleh puteri Raja Ungu bernama Raja Kuning.

Tempoh 104 tahun yang diperintah oleh keempat-empat wanita ini dikatakan zaman emas kerajaan Melayu Patani Lama. Keadaan negeri yang relatif makmur, dan sentiasa dikunjungi pedagang khusus dari Portugal, Sepanyol, Belanda dan Inggeris dari barat dan pedagang Cina dan Jepun dari timur menjadikan Patani kaya-raya. Musuh utama mereka iaitu Kerajaan Siam telah menyerang patani berkali-kali namun berjaya dipatahkan, kecuali serangan terakhir yang datang dari Raja Siam baru yang lebih agresif serta tindakan khianat oleh pegawai perang istana Patani yang bukan berbangsa Melayu.

Patani subur bukan dari aspek pertanian sahaja, tetapi maju dari sudut ketenteraan, dengan teknologi perang terkini menggunakan meriam gergasi dan meriam mudah alih dan tentera yang terlatih. Raja-raja wanita ini juga amat disenangi rakyat dan mendapat sokongan serta taat-setia tidak berbelah bahagi daripada mereka. Raja Kuning contohnya adalah seorang petani dan usahawan berjaya, yang menjual hasil taninya untuk jana pendapatan sendiri, serta memiliki kapal dagang yang belayar ke seluruh perosok nusantara.

Akhir sekali, puteri-puteri raja ini amat menitikberatkan ilmu. Meraikan ilmu agama dan mengembangkannya merupakan legasi kerajaan Patani yang terus subur sehingga ke hari ini.

Wanita Melayu yang saya maksudkan ini amat selari kisahnya dengan Raja Hijau, Raja Biru Raja Ungu dan Raja Kuning (Dalam bahasa siam, mereka digelar Phra Nang Chao Yang-bermaksud Raja Perempuan, yang kemudian diMelayukan sebutannya menjadi Raja Nang Cayang). Mereka bukan ahli politik pada asalnya, tetapi terpaksa memainkan peranan tersebut apabila keadaan memaksa.

Wanita ini mungkin tidak fasih berkata-kata, dan tidak ringan lidahnya menabur janji disana-sini. Dia mungkin lebih selesa duduk di rumah melayan anak dan cucu, atau mengira hari menanti kepulangan suami, daripada berpeluh berpanas memenuhi tuntutan massa yang sedang ketandusan pemimpin dan pria yang cukup kuat, ikhlas dan jujur untuk diangkat menjadi pemimpin.

Puteri-puteri raja Siam yang diceritakan tidak mungkin dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pimpinan masyarakat, panglima tentera, tokoh–tokoh agama dan rakyat jelata patani itu sendiri.

Begitu jugalah dengan wanita ini. Dia akan mara ke hadapan hanya jika kita sanggup maju bersama-sama dengannya.

Dan mungkin dialah orangnya yang akan dapat mengeluarkan kita daripada kekusutan politik dan eonomi yang semakin meruncing hari ini. Pesan saya, sokonglah wanita ini dan sokonglah sesiapa sahaja yang sedang mara ke hadapan bersama-samanya.

Selamat Mengundi!