Memang subjek yang sukar untuk diulas kerana tahap sensitivitinya yg tinggi. Maka tidak mengejutkan apabila ramai tersentak dengan ucapan Tun tentang Memali baru-baru ini. Ada yang mula keluarkan video-video lama, petik ayat al-quran, dan tidak mustahil ada yang bertindak meninggalkan jemaah, kembali merujuk jemaah lama yang baru diceraikan lantaran kecewa dan marah dengan keceluparan mulut si-tua-kutuk itu.
Kita tidak mahu menambah minyak ke dalam api yang cukup sukar untuk dipadamkan ini. Tetapi kita mesti realisitik dalam berbicara kerana dalam tempoh kurang lima hari sahaja lagi, masa depan setiap rakyat Malaysia bakal jadi taruhan, tak kiralah samada Tun akan melutut meminta ampun atau tidak, atau disambar petir tanda murkanya Allah kepadanya, menjelang 9hb…jika kita tidak bertindak bijak, kita sendirilah yang bakal menanggung akibatnya untuk 5 hingga 50 tahun lagi.
Saya ingin cadangkan kepada pembaca budiman, daripada meneliti setiap bait ucapan Tun dibawah mikroskop bagi mencari salah dan silap beliau baiklah kita kembali kepada realiti. Kita dah condemn, maki dan hina Tun entah sudah berapa lama dan ia tidak memberi apa-apa keuntungan pun melainkan dosa kering semata. Jiwa-jiwa yg terkorban di Memali, jika Allah kurniakan syahid…Allahuakbar mereka berada di dalam dunia yg cukup bahagia sekarang. Dan jika benar Tun bersalah, dia akan menanggungnya…itu biarlah antara dia dan Allah.
Memanglah antara sisi pandang peribadi Tun yang kita kurang gemar ialah kelancangannya memberi pandangan tentang agama; kerana kita telah lama buat kesimpulan Tun bukanlah orang kuat agama, tidak pernah nampak jadi imam, tidak pernah nampak doa, tidak pernah sebut perkataan arab seperti wala tabayyun dan wasatiyah, tidak berjanggut, dan seluruh keluarga dia pun jenis free-hair dan liberal amat gayanya.
Tun ada pandangan agamanya yang tersendiri yg mungkin tidak seiring dengan pandangan kita. Kita tahu dia tidak memusuhi islam, jauh sekali memeranginya tetapi kita rasa dia tidaklah seislamik kita yang sudah khatam al-Quran lima kali ini.
Tapi kita tolaklah hal itu ke tepi sebentar kerana malapetaka yang jauh lebih besar bakal melanda Rabu hadapan. Cuba halakan kanta pembesar kita itu daripada meneropong dosa-dosa lama Tun kepada apa yang sedang berlaku dalam negara dan masyarakat. Sejujurnya bolehkah kita harungi 5 tahun yang akan datang dengan pentadbiran yang sama, dengan pucuk pimpinan yang sama juga? Jika anda kata boleh…tak perlulah teruskan membaca. Good luck and all the best…
Kepada yang mahu terus membaca, anda lebih maklum Tun hayatnya tidak mungkin lama (tak mungkin beliau dapat survive PRU15 akan datang pada usia 99 tahun). Bahkan setelah melihat sendiri ucapan beliau di Putrajaya semalam, Tun kelihatan penat dan agak ‘fragile’.
Malangnya kita tidak ada tokoh yang lebih muda, lebih bersih dan lebih berpengalaman untuk mengepalai ‘peperangan’ ini. KIta tidak ada sesiapa pun yang lebih mahir dan faham selok-belok musuh selain daripada Tun yang pernah mengemudinya sendiri selama 22 tahun dengan rekod yang agak baik. Mungkin adalah seorang, tetapi dia telah di-‘designed’ oleh pemerintah untuk kekal dalam penjara sehingga PRU14 selesai kerana mungkin menganggap mamat ini jauh lebih bahaya dari Tun.
Episod itu kita bincanglah di lain hari.
Sejujurnya Tun bukanlah calon ideal, dia banyak ‘baggage’ yang kita boleh hujah dan pertikaikan sampai kiamat, tetapi kita harus akui dia adalah calon terbaik setidak-tidaknya sehingga ‘penyelamat’ yang ditunggu-tunggu muncul. Dan nampaknya prospek itu boleh diterima oleh parti-parti politik yang lain serta pimpinan mereka.
Dan Tun tidak bersendirian, beliau dikellilingi begitu ramai panglima, hulubalang, penasihat yang masing2 cukup hebat, Entah apa yang dihujahkan Tun kepada bekas seteru politiknya, nampaknya mereka dapat menerima kali ini, dapat bergabung, duduk semeja mencari titik temu yang boleh dipersetujui. Titik temu itu mudah sahaja, iaitu untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada negara dan untuk tidak membiarkan kerajaan sekarang terus bermaharajalela.
Saya masih tidak dapat mencari asbab mengapa PAS tidak mahu bersama Pakatan atau sebaliknya. Samada ia berpunca daripada prinsip perjuangan atau sejarah lama wallahua’lam. Mungkin juga ada kena mengena dengan kisah lama Tun-Hadi dan Memali.
Saya percaya, sebagai orang lama dalam kancah politik negara, PAS sudah cukup dewasa dan matang untuk merancang dan melaksanakan strategi perang yang ampuh. Tak apalah jika sudah tekad dan bulat muafakatnya, teruskanlah dan undilah PAS apabila sampai masanya…yang penting jangan biarkan hegemoni kleptokrat untuk terus mengemudi bahtera yang sedang karam ini.
Selamat Mengundi!
untuk artikel-artikel saya berkaitan PRU14 boleh klik page berikut: