Kita belum pernah mendengar orang Cina melompat parti. Hampir tidak pernah dengar anggota DAP masuk MCA, masuk Gerakan ataupun sebaliknya. Kita juga jarang mendengar orang Cina mencaci-hina seteru politik Cina mereka sebagaimana yang berlaku dikalangan peneraju dan penyokong parti politik Melayu. Mungkin adalah satu dua kes yang lebih kepada usik-mengusik, dan tidaklah sampai putus saudara.

Oleh kerana adanya kesepakatan ini, maka orang Cina yang bilangannya sekitar 40% kurang daripada orang Melayu nampak begitu kuat, kebal dan berjaya sekali, seolah-olah merekalah kaum majoriti di Malaysia dan merekalah kaum yang didahulukan. Kita harus mengakui, disebalik perbagai kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu, orang Cina terus menguasai ekonomi dan hampir segala macam perusahaan; daripada pertanian hinggalah kepada industri berteknologi tinggi. Kita lihat mereka menguasai institusi kewangan, perbankan dan pelaburan jauh mengatasi pegangan orang Melayu. Kita akur orang Cina juga menguasai alam pekerjaan apabila graduan Cina yang keluar dari kolej dan universiti swasta yang tidak ada ranking begitu mudah sekali mendapat pekerjaan dengan gaji 20%-30% lebih tinggi dari graduan Melayu cemerlang yang datang dari universiti ternama tempatan.

Keadaan yang tidak seimbang ini seringkali mewujudkan prasangka yang negatif serta ‘animosity’ berpanjangan orang Melayu terhadap orang Cina. Orang Melayu menganggap keistimewaan mereka ditarik sedikit demi sedikit manakala orang Cina pula merasakan mereka sering dianak-tirikan. Prasangka ini sering pula diburukkan lagi dengan permainan politik perkauman yang keterlaluan.

Pada pandangan saya, solidariti dalam berpolitik yang sudah lama pupus dikalangan orang Melayu adalah punca kepada segala masalah, daripada hubungan antara kaum hinggalah kepada kegagalan berpanjangan orang Melayu untuk bersaing walaupun setelah diberikan tongkat oleh pemerintah.

Penyakit politik kepartian yang melampau sehingga melanggar etika serta akal yang waras sebenarnya telah memakan diri orang Melayu sendiri. Barah perseteruan PAS-UMNO yang tidak pernah berjaya dirawat kini telah merebak pula kepada PKR, AMANAH dan PPBM. Bahkan semakin ramai anak Melayu sudah tidak segan lagi untuk menganggotai wadah politik ‘anti-Melayu-anti-Islam’ seperti DAP dan PSM lantaran kecewa dengan wadah politik ‘Melayu-Islam-munafik’. Pada masa yang sama, masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak juga sudah jemu melayan kehendak dan serakah saudara Melayu/Bumiputera mereka di Semenanjung, yang hanya pandai meminjam tetapi liat untuk memulangkan. Budi yang mereka tabur selama ini dengan memberi undi-undi kemenangan kepada BN, atau dengan menyerahkan hasil bumi yang melimpah ruah hanya dibalas dengan janji demi janji yang tidak bertepi.

Akibatnya warga Melayu dengan bilangan majoritinya yang dahulunya hanya ada dua mazhab kini berpecah menjadi 7 hingga 8 mazhab-mazhab kecil, masing-masing mengaku lebih Melayu daripada lawannya. Itu belum lagi mengambil kira pecahan pegangan agama yang walaupun 99.9% beragama Islam terus terpecah lagi menjadi lima hingga enam aliran.

Sikap suka berpuak-puak, dengki-mendengki dan khianat-mengkhianati ini telah merosakkan kesatuan Melayu sehingga menjadi golongan minoriti yang ekstrim dengan kepercayaan masing-masing. Apabila sudah berpecah-belah sedemikian rupa mana mungkin suara kita dapat didengari, difahami, diberikan perhatian, dihormati atau digeruni! Mana mungkin kabilah-kabilah kecil Melayu yang hanya bersandar kepada ilusi kuasa dan daulat dapat menjayakan gagasan raksasa yang amat memerlukan kesatuan hati serta gerak-kerja yang bersepadu? Ampuh sehingga tidak boleh digugat oleh sesiapapun.  Bukankah itu senjata utama kekuatan orang Cina?

Agenda memperkasa ekonomi umat Melayu atau Bumiputera yang telah dipelopori Tun Abdul Razak Hussein pada hari ini bukanlah kayu ukur sebenar kejayaan orang Melayu, sebaliknya hanya mendabik dada dengan seteru politik Melayu yang lain, untuk membeli undi dan bukan untuk meningkatkan keupayaan mandiri. Kerna itulah selepas 50 tahun, orang Melayu masih pada tahap yang sama. Kita berlumba dengan lawan yang sama lemah dan sama-sama perlahan.

DEB, W2020, TN50 atau apa jua jua dasar ekonomi, wawasan atau pelan tranformasi untuk orang Melayu tidak mungkin akan berjaya kerana setiap kabilah hanya bekerja untuk kabilahnya, dan kabilah yang tidak sehaluan akan diperangi habis-habisan. Keadaannya amat berbeza sekali dengan solidariti orang Cina yang sentiasa saling memperkukuh bangsa tanpa membezakan pegangan politik atau kabilah. Pelan ekonomi mereka mudah sahaja, namun dipatuhi dengan sepenuh jiwa raga.

Perbezaan solidariti ini satu-satunya faktor yang membezakan 30% orang Cina yang bersatu-pada dengan 60% orang Melayu yang berpecah-belah.  Tidak dinafikan akan adanya usaha -usaha untuk mencontohi , tetapi tanpa kesatuan ia bukan sahaja gagal, bahkan peluang istimewa yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akibat ditinggalkan tidak berisi akan direbut dimanfaatkan oleh orang Cina. Terlalu banyak contoh yang menyedihkan, daripada perusahaan utama seperti minyak dan gas, otomobil, pertanian (khususnya padi & beras); sehinggalah kepada industri halal, ICT dan Kreatif. Begitu juga dengan inovasi dasar ekonomi yang pro-Melayu/Bumiputera seperti dasar penswastaaan, pembangunan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pada asalnya cuba untuk ’emulate’ falsafah ekonomi orang Cina gagal kerana faktor kesatuan politik menjadi ‘gajah putih’ yang amat membebankan.

Pegawai kanan Tun Mahathir pernah berkata, Tun berjaya bina negara, boleh naikkan Malaysia, boleh bina satu-satunya menara berkembar tertinggi dunia, boleh pecahkan sumpah langkawi tujuh keturunan…tetapi dia masih belum berjaya ubah sikap orang melayu yang tidak mahu bersolidariti.  Tun sendiri apabila ditanya tentang kelemahan utama orang melayu memberi jawapan berikut; iaitu sentiasa mengharapkan orang lain untuk melakukan kerja, tidak suka bekerja atau belajar dan tidak mahu bersatu.