Mampukah China menggugat pasaran tempatan?

Jawapannya sudah tentu.

Lambakan produk-produk dari negara China yang bolos masuk ke sempadan negara bagaikan tsunami yang sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi; walaupun dengan menaikkan pagar tarif impot tinggi-tinggi, atau meletakkan sekatan dagangan banyak-banyak, mahupun dengan menguatkuasakan undang-undang khusus teruk-teruk.

Amerika yang dianggap ibunegara kapitalis itu pun sudah hampir ‘tergolek dog’ dengan kebanjiran pengaruh China, atau dengan penghijrahan produk Made in America yang dahulu dibanggakan sangat ke China, sehingga memaksa Presiden Trump bermain taichi di-sana sini. Mungkin juga Amerika yang terkenal dengan sikap evangelistik mereka itu menyesal hari ini kerana akidah kerajaan China daripada komunis telah berjaya ditukar menjadi neo-kapitalis.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Samalah. Bahkan lebih teruk lagi. Bayangkan produk kesihatan buatan Malaysia yang dijual pada harga kompetitif tiba-tiba tidak laku lagi kerana sudah tidak boleh menyaingi produk daripada negara China yang sekali ganda lebih murah serta hampir sama spesifikasi dan khasiat yang ditawarkan!

Pendukung ‘fair trade’ akan horay-horay menempelak, “Apa salahnya?” Cuma harus diingat apa yang dikatakan fair trade itu amat subjektif. Fair disini mungkin kurang fair disana, dan begitu juga sebaliknya.

Jika dilihat aspek tenaga buruh sahaja pun sudah tidak saksama. Pasaran tenaga buruh tempatan China 40 kali ganda lebih ramai (untuk memudahkan kita bandingkan jumlah penduduk sahaja iaitu 30 juta di Malaysia dan 1.3 bilion di China), dan kelebihan ini membolehkan China menghasilkan apa sahaja produk pada kos dan upah yang jauh lebih murah.  Kita di Malaysia terpaksa membawa masuk pekerja asing, yang sudah tentunya kosnya lebih besar dan jika mahu menggaji pekerja tempatan, upah yang terpkasa dibayar pula jauh lebih tinggi, bahkan sudah ada cadangan untuk menaikkan kadar gaji minima kepada dua ribbu ringgit sebulan.

Itu belum dikira pembuatan secara besar-besaran, penggunaan bahan yang lebih murah dan tidak mesra alam, engkar kepada tuntutan memenuhi piawaian serta standard antarabangsa, salahlaku seperti penyeludupan, tax and tarif evasion serta banyak lagi. Itu juga belum diambilkira lobi berterusan oleh kerajaan China agar kita membeli produk-produk mereka secara halus melalui tekanan diplomatik (arm-twisting negara jiran dengan memberi perbagai ultimatum), atau dengan menawarkan perbagai insentif seperti kemudahan pinjaman modal yang besar tanpa faedah, pindahan teknologi dan lain-lain.

Sesuatu perlu dilakukan bagi mewujudkan suasana dagang yang lebih sihat di Malaysia agar tidak mencekik diri kita sendiri. Kerajaan Malaysia baharu didalam memenuhi jsnji untuk mengurangkan hutang negara tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab melindungi kepentingan usahawan tempatan dan memberikan mereka ruang serta peluang yang secukupnya bekerja atau berniaga tanpa perlu melacurkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pembida terendah sahaja.

Menyediakan modal insan dan membina rangkaian usahawan tempatan yang maju serta berdaya saing memerlukan komitmen yang besar, tetapi kita tidak boleh terlalu berkira sangat.

Terutamanya jika mahu merdeka 100 tahun lagi.

RJ