20 tahun lalu, rakyat Malaysia cuma baca secara purata DUA buah buku setahun…dan pada tahun 2014 ia meningkat kepada 15 buah.
 
Tetapi janganlah ‘happy’ sangat lagi kerana…
 
Buku bagaimana yang kita baca?
Adakah penambahan bilangan buku yang itu berjaya diangkat menjadi kekayaan ilmu, budi, tamadun dan sopan-santun?
Atau ia hanya trend semasa yang datang dari kegilaan mengunjungi pesta-pesta buku atau jualan serigala yang akhirnya hanya menjadi menghiasi rak buku diruang tamu?
 
Syak wasangka kita ini ada asasnya kerana kajian antarabangsa (PISA) pernah mendedahkan skor bacaan pelajar di Malaysia telah jatuh mendadak pada 2012 berbanding 2009, langsung menjunamkan ranking Malaysia ke tangga 55 daripada lebih 70 negara lain yang diukur, sekaligus membayangkan cabaran yang bakal dihadapi generasi tersebut dalam menjalani kehidupan selepas tamat pengajian disekolah.
 
Begitu juga dengan kurangnya minat kita untuk membaca apa jua jenis buku samada yang berbentuk konvensional atau buku-buku alaf-baru seperti e-buku, buku-audio, buku-video dan lain-lain lagi. Kita dikatakan menghabiskan 8-12 jam sehari mengadap telefon pintar tetapi ia hanya menambah maklumat, bukan ilmu atau iman.
 
Telefon telah menjadi terlebih pintar daripada tuannya.
 
Mungkin ramai beranggapan membaca sudah ketinggalan zaman, dan saya tidak boleh bersetuju.
 
Mari kita buat analogi mudah.
 
Cubalah anda mandi seminggu sekali berbanding 2-3 kali sehari yang biasa kita lakukan sekarang. Tak dapat kita bayangkan ‘semerbaknya’ bau badan kita bukan? Itu belum diambil kira risiko penyakit seperti penyakit kulit dan lain-lain; atau melihat kesannya kepada kesihatan mental dan spiritual yang sudah tentu terjejas lantaran tidak mandi sebegitu lama. Markah ibadat kepada Tuhan sudah tentu akan banyak ditolak, atau mungkin terbatal kerana sudah tidak sah lagi.
 
Ya, memanglah boleh sembur pewangi berbotol-botol untuk menyembunyikan hapak dan tengik, tetapi busuk itu lambat laun akan terhidu juga bukan sahaja ooleh orang disekeliling tetapi kita sendiri.
Begitu juga halnya dengan membaca. Jika kurang membaca, bagaimana mahu membina pemikiran yang sihat dan tajam; dan bagaimana pula mahu menangkis serangan pemikiran songsang dan jumud? Lebih penting, bagaimana mahu mengajak kepada kebaikan iaitu melaksanakan tugas sebagai khalifah jika tidak ada ilmunya?
 
Persoalan membaca ini sepatutnya tidak berbangkit di kalangan orang Islam kerana agenda memperkasa ummah Allah yang paling asasi kepada manusia daripada era Nabi Muhammad SAW sehinggalah ke hari kiamat adalah dengan membaca.
 
Ironinya ayat al-Quran pertama yang turun itu tidak dijadikan rukun…sebaliknya menjadi gesaan yang mungkin kerana itu kita memandang enteng.
 
Untuk makluman juga, setiap tahun semenjak 2001 UNESCO akan memilih Ibu Kota Buku Dunia bagi mengiktiraf negara yang sukakan buku da nmahu membudayakannya. Bermula dengan Madrid, New Delhi, Amsterdam, Bangkok, Korean, Athens; dan lain-lain sehinggalah Sharjah (UAE) pada tahun 2019.
 
Alangkah moleknya jika Kuala Lumpur ditabalkan menjadi World Book Capital pada tahun 2020, cocok sekali dengan terangkatnya martabat negara Malaysia menjadi negara maju pada tahun yang sama. Kita tahu memang ada usaha-usaha digembeling ke arah itu, tetapi melihat kepada situasi sosio-politik dan mungkin juga ekonomi usaha itu telah sedikit terpendam. Kita seolah-olah sedar sendiri yang kita belum bersedia untuk mengerima pengiktiraf sedemikian rupa.
 
Jangan berhenti membaca…tak dapat anugerah tak mengapa, yang penting dapat ilmu yang bermanfaat daripada buku yang dibaca. InsyaAllah.
 
-MRJ